Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh enggan mengulas isu berhubung Asia Mobility Asia Mobility Sdn Bhd (Asia Mobiliti), syarikat yang diketuai suaminya Ramachandran Muniandy.
“Ini adalah majlis Kementerian Belia dan Sukan, dan perkara itu tiada kena-mengena dengan kementerian,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Dia dilapor berkata demikian selepas acara perasmian Sport Satellite Account 2022 di Kementerian Belia dan Sukan di Putrajaya.
Pada 29 Mei lalu, Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han berkata penglibatan Asia Mobiliti dalam pembuktian konsep (POC) untuk projek rintis Transit Responsif Atas Permintaan (DRT) adalah melalui proses Request for Proposal (Permintaan untuk Cadangan), bukannya melalui tender terus seperti yang didakwa.
Ng juga berkata dakwaan Asia Mobiliti satu-satunya syarikat yang dipilih adalah tidak benar, memandangkan Badanbas Coach Sdn Bhd juga diberi peluang untuk melaksanakan POC, manakala permohonan sebuah lagi syarikat kini dipertimbangkan untuk fasa seterusnya.
"Pada awal bulan ini kerajaan negeri telah menerima cadangan daripada syarikat Kumpool Sdn Bhd yang berhasrat terlibat sama dalam proses POC, yang juga telah menerima kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyertai proses tersebut.
"Kerajaan negeri yakin bahawa proses penilaian RfP dan keputusan melibatkan syarikat-syarikat ini dilaksanakan dengan hemat dan asas yang kukuh serta menepati syarat serta garis panduan undang-undang sedia ada," katanya seperti dipetik Bernama.
Semalam, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerajaan negeri sedia mendedahkan perincian serta minit mesyuarat berkenaan perkara itu.
Namun, tidak semua menerima baik kenyataan kerajaan negeri, antaranya Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang menggesa kerajaan negeri membatalkan semua syarikat yang terpilih dan memulakan proses tender terbuka.
Bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin pula berpandangan isu tersebut telah menjejaskan "kelebihan moral" Yeoh.
"Antara pemimpin PH yang suka mempamerkan kelebihan moralnya sebenarnya adalah Hannah Yeoh...seolah-olah BN (ketika mentadbir negara) tiada moral, (mengamalkan) kapitalisme kroni dan sebagainya.
"Jadi bila benda ini jadi kepadanya, bukan hanya penyokong PN dan yang atas pagar, penyokong PH sendiri agak keras (dalam kritikan) terhadapnya," katanya.