Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kapal luar baiki kabel dasar laut dikecualikan dasar kabotaj mulai Jun
Diterbitkan:  May 30, 2024 9:26 AM
Dikemaskini: 1:30 AM

Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah menandatangani warta untuk pengecualian dasar kabotaj terhadap kapal yang terlibat dalam pemasangan dan penyelenggaraan kabel telekomunikasi bawah laut.

Berkuat kuasa 1 Jun ini, langkah itu membatalkan keputusan menteri sebelum ini, Wee Ka Siong yang menarik balik pengecualian itu pada 2020.

"Sejak 2020, syarikat teknologi Malaysia dan antarabangsa telah menyuarakan keperluan agar kerajaan mewujudkan rangka kawal selia progresif yang boleh menggalakkan lebih banyak pelaburan dalam sektor teknologi.

"Kerajaan Perpaduan komited dalam memacu pembangunan infrastruktur digital negara," kata Loke dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan semalam.

Pengecualian itu dibuat mengikut Seksyen 65U Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan terpakai untuk semua kapal pemasangan kabel yang terlibat dalam pemasangan, penyelenggaraan, dan pembaikan kabel telekomunikasi bawah laut yang mendarat di mana-mana pusat pendaratan kabel bawah laut di perairan Malaysia.

Pengembalian semula dasar pengecualian itu susulan usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk meningkatkan pelaburan asing dalam sektor teknologi, antaranya semikonduktor, pusat data dan kecerdasan buatan (AI).

Loke pada mulanya memberikan pengecualian tu sejak 1 April 2019, ketika dia mengetuai Kementerian Pengangkutan dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Namun, selepas Wee menggantikannya susulan Langkah Sheraton, dia membatalkan pengecualian tu pada 15 November 2020.

Dasar kabotaj

Dasar kabotaj merupakan dasar perlindungan untuk industry perkapalan dan pembinaan kapal Malaysia, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap perkapalan luar.

Di bawah dasar ini, hanya kapal yang dimiliki dan didaftarkan di Malaysia boleh menggunakan laluan domestic di negara ini, melainkan pengecualian diberikan.

Ketika menjustifikasikan langkah tu, Wee berkata ia membantu membina kapasiti tempatan dan mengurangkan pengaliran keluar mata wang asing.

Dia juga berkata, pemberian pengecualian diberikan tanpa penangguhan apabila ia diperlukan.

Pembatalan pengecualian itu menyebabkan syarikat gergasi teknologi seperti Amazon Web Services, Facebook, Google dan Microsoft mengeluarkan kenyataan bersama bagi memohon perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin agar mengembalikan pengecualian itu.

Mereka berkata pembatalan itu telah mengurangkan daya tarikan Malaysia untuk pelabur, antaranya kerana masa yang lebih diperlukan untuk membaiki kabel dasar laut yang rosak.

Namun Persatuan Pemilik-Pemilik Kapal Malaysia (Masa) menegaskan Malaysia ada kepakaran yang diperlukan untuk menyelenggara kabel bawah laut.

Pembatalan itu turut mencetuskan pertikaman lidah antara Wee dan beberapa pemimpin DAP, membawa kepada debat siaran langsung antaranya dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, antaranya menyentuh jika ia menyebabkan Malaysia terlepas peluang pelaburan asing yang besar.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata Loke juga membatalkan pengecualian kabotaj kepada semua kapal yang mengangkut kargo dari mana-mana pelabuhan di Sarawak ke pelabuhan lain di Malaysia, dan juga dari pelabuhan lain ke pelabuhan di Sarawak.

Menurutnya,langkah itu dibuat atas permintaan Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS