Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes pengiring kerabat: Laporan kedua mangsa kata isu selesai
Diterbitkan:  May 29, 2024 3:26 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa memaklumkan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mendakwa dipukul pengawal peribadi seorang kerabat diraja di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam membuat laporan polis kedua untuk menyatakan bahawa dia tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.

Rusdi berkata, pemandu e-hailing berusia 46 tahun itu memfailkan laporan baru itu pada jam 9.59 malam tadi.

“Pengadu telah membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam satu kenyataan.


Baca: Polis siasat dakwaan pengawal peribadi TMJ pukul OKU


Walaupun, Rusdi tidak mendedahkan sebarang nama, namun adalah dipercayai dia merujuk kepada dakwaan bahawa pengawal peribadi Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ) memukul seorang lelaki di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Insiden tersebut tular media sosial sejak semalam.

Pagi tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, polis membuka kertas siasatan setelah mangsa, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing, membuat laporan polis.

Ini selepas lelaki OKU itu membuat laporan polis pada jam 1 tengah hari semalam.

Menurutnya, laporan itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Mengulas lanjut, Rusdi menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu.

Dalam kenyataannya, dia berkata, salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dipercayai punca lelaki itu didakwa diserang pengiring berkenaan.

“Polis Kuala Lumpur mengesahkan menerima satu laporan polis kira-kira jam 1 tengah hari semalam daripada pengadu yang merupakan seorang pemandu Grab dan mendakwa diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.

“Kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS