Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buat apa kembali ke parti 'rosak, ditolak rakyat' soal Annuar Musa
Diterbitkan:  May 29, 2024 12:30 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa mempersoalkan kewajaran untuk kembali kepada Umno - parti yang dianggapnya sebagai tidak relevan angkara dirosakkan oleh pemimpinnya.

Dalam satu kenyataan malam semalam, Annuar menggesa mereka supaya mempertimbangkan pilihan lain.

“Pokok pangkalnya kita perlu bertanya diri untuk apa kita mendukung atau menyokong sesuatu parti.

“Apa lagi jika parti itu sudah jelas rosak angkara pemimpinnya, tidak releven dan ditolak oleh rakyat secara total dan nyata,” kata bekas ahli parlimen Ketereh itu.

Jalaluddin Alias

Kenyataan Annuar menyusul selepas ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno Jalaluddin Alias berkata parti itu bersedia menerima pemimpin dan ahli parti itu yang dipecat selepas pilihan raya umum lalu.

Jalaluddin berkata parti itu bersedia memberi peluang kedua kepada mereka yang tetap setia dan masih percaya kepada perjuangan parti.

Annuar yang juga bekas ahli parlimen Ketereh menyertai PAS tahun lalu selepas disingkirkan dari Umno.

Bekas setiausaha agung BN itu pernah menganggotai Umno dari 1979 hingga 2022.

Antara pemimpin utama Umno yang dilucutkan keahliannya ialah bekas menteri Khairy Jamaluddin, Noh Omar, dan bekas ahli MKT Isham Jalil.

Parti itu juga turu menggantung keahlian bekas menteri Hishamuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Shahril Sufian.

Isham dalam responnya kepada kenyataan Jalauddin sebelum ini mendakwa parti itu terdesak, apabila menyatakan peluang kedua kerana Umno dijangka akan tewas teruk di banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Annuar turut menegaskan bahawa Umno pada masa ini tidak demokratik dan tidak rasional.

"Jelas deria politik mereka telah dikembirikan perlahan-lahan. Apabila UiTM digelar apartheid mereka diam," katanya seolah-olah menafikan suara lantang Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh serta Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu UiTM.

Kata Anwar adalah tidak hairan yang parti itu kini hanya bertindak sebagai alat dan perisai bagi melindungi pemimpinnya, tiada lagi demokrasi dalam parti itu.

Jelas Annuar, parti itu membelakangkan asas dan dasar penubuhannya yaang sudah kabur mrngenai siapa teman dan siapa musuhnya, siapa murid dan siapa gurunya.

Oleh itu kata Annuar maka tidak hairanlah jika beribu ribu cawangan terbiar dan gagal atau enggan bermesyuarat selain berjuta penyokong menukar kiblat

Selain ratusan ribu ahli parti itu tidak segan silu memilih untuk tidak ikut "menjilat" malah sebaliknya tidak takut untuk memberi pelbagai isyarat dengan memilih haluan sendiri.

"Yang pasti, ramai yang pergi tidak akan kembali lagi," kata Annuar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS