Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Penyasaran subsidi diesel bukan alasan untuk naikkan harga barang'

Susulan rancangan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel seperti yang diumumkan dalam perutusan negara oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 21 Mei lalu, kegusaran mengenai kenaikan harga barang mulai timbul di kalangan orang ramai.

Walaupun langkah tersebut hanya memberi kesan kepada golongan kaya serta warga asing, ia sama sekali tidak meredakan keresahan masyarakat terutama di kalangan kumpulan B40 dan peniaga kecil.

Malaysiakini mendapatkan pandangan pakar berkaitan isu jangkaan kenaikan harga barang susulan penarikan balik subsidi diesel oleh kerajaan.

Menurut pakar ekonomi, Dr Geoffrey Williams tiada alasan untuk peniaga menaikkan harga barang susulan pelarasan itu kerana subsidi diesel masih akan dinikmati melalui mekanisme yang berbeza.

Katanya, situasi yang berlaku adalah sistem rasionalisasi subsidi diesel baru diwujudkan yang bertujuan untuk mengurangkan pembaziran, ketirisan, dan rasuah dalam perbelanjaan negara.

Malah, katanya, syarikat dan pekebun kecil yang menerima subsidi diesel sebelum ini akan mendapat bantuan langsung melalui Program Bantuan Subsidi Budi Madani (Budi).

"Ini akan merombak keseluruhan sistem dan mengehadkan subsidi diesel kepada golongan sasaran. Bagi peniaga kecil, mereka akan menerima gantian subsidi di bawah skim Budi Madani.

"Jadi, tiada sebarang alasan untuk peniaga menaikkan harga barang," katanya yang juga pengasas dan pengarah Konsultan Perniagaan Williams Sdn Bhd.

Tambahnya, jika ada syarikat yang menaikkan harga atas alasan penarikan subsidi, pengguna boleh melaporkannya kepada pihak berwajib atau beralih kepada peniaga dan produk lain.

Beri kesedaran pada orang ramai

Katanya lagi, walaupun terdapat kebimbangan yang disuarakan orang ramai tetapi kesannya amat kecil, justeru, kerajaan harus menekankan perkara ini bagi memastikan kesedaran dan keyakinan orang ramai mengenai langkah pelarasan subsidi ini.

"Mereka tidak perlu risau kerana selagi mereka tidak menggunakan diesel, mereka tidak akan terjejas dan pengguna komersial masih mempunyai akses kepada diesel bersubsidi," tambahnya.

Pada Selasa lalu, Anwar berkata kerajaan akan melaksanakan subsidi bersasar bahan api untuk Semenanjung Malaysia, dengan jangkaan penjimatan sekitar RM4 bilion setahun.

Dia berkata langkah itu hanya akan memberi kesan kepada golongan kaya serta warga asing yang selama ini turut menikmati subsidi tersebut.

Bagaimanapun penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, subsidi diesel akan diteruskan untuk 10 jenis pengangkutan awam dan 23 pengangkutan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi, bagi mengekang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.

Mulai semalam, pemilik kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 boleh memohon subsidi menerusi skim Budi Madani, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.

Penerima yang layak akan menerima RM200 sebulan sebagai subsidi diesel yang disasarkan.

Peniaga ambil kesempatan

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata penarikan subsidi diesel ini sememangnya akan mewujudkan risiko berlakunya kenaikan harga barang.

Menurutnya, ia adalah disebabkan sikap segelintir peniaga yang suka mengambil kesempatan untuk menaikkan harga walaupun mereka tidak terkesan secara langsung dengan penarikan subsidi tersebut.

Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai

"Saya rasa harga barangan asas tidak naik (harga) tetapi harga makanan akan naik terutama harga makanan (di kedai dan restoran).

"Kerajaan perlu bersedia kerana di Malaysia, ada tabiat penjual apabila terdapat kemungkinan untuk menaikkan harga, mereka akan terus menaikkan harga walaupun tidak terkesan (dengan kenaikan)," katanya.

Justeru, katanya, perkara ini perlu dikawal pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan perbuatan menaikkan harga sesuka hati ini tidak berleluasa.

Barjoyai turut meminta pengguna berwaspada dan memboikot peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

"Pengguna boleh tanya kenapa (naikkan harga) dan kalau tak sepadan kita boleh boikot. Kita dah ada pengalaman sebelum ini dengan boikot (Israel) dan sebagainya," katanya lagi.

Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid senada dengan pendapat tersebut dengan mengingatkan peniaga yang ingin mengambil kesempatan terhadap penyasaran semula subsidi diesel.

Katanya, selain daripada kuasa boikot, pengguna juga mempunyai banyak pilihan untuk berbelanja seperti membeli-belah secara dalam talian.

"Kita sudah menyaksikan kuasa pengguna dalam menentukan jatuh naik sesebuah perniagaan melalui tindakan boikot yang dilaksanakan (sebelum ini).

"Bagi peniaga, (tindakan) menaikkan harga serta-merta hanya akan berkesan untuk jangka pendek. Tetapi harus diingat bahawa maklumat hanya di hujung jari pengguna dan mereka mempunyai banyak pilihan dengan adanya kemajuan teknologi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS