Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS jadi sasaran kerana paling banyak menang kerusi pada PRU15
Diterbitkan:  May 28, 2024 4:51 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Abdul Hadi Awang berkata PAS menjadi sasaran kumpulan yang ingin memburukkan Islam susulan kejayaan parti itu menang paling banyak kerusi DUN dan parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Presiden PAS itu mendakwa, media digunakan oleh seteru mereka untuk membesar-besarkan cerita yang dapat memburukkan Islam.

"Apabila berlaku kelemahan manusia pada diri segelintir kumpulan Islam yang terjerumus ke dalam kesalahan moral atau jenayah, maka akan dibesar-besarkan beritanya.

"Sekiranya terdapat berita dari sekolah agama, pondok, sekolah tahfiz ataupun seorang ustaz, imam, orang yang berkopiah, apalagi mereka yang berjubah, ada yang sengaja diletakkan kopiah atau jubahnya, atau dipakaikan jilbab wanitanya.

"Keadaan ini laksana peribahasa, seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit," katanya dalam tulisan Minda Presiden yang dikongsi di Facebook hari ini.

Tambah Abdul Hadi seteru mereka juga akan menjadikan PAS sasaran apabila ada pihak lain yang menyalahgunakan Islam.

"Maka, dibesarkan beritanya atau direka cipta beritanya seantero dunia, diulang dan didramakan dengan lakonan-lakonan yang dicipta supaya dapat menarik perhatian agar ramai yang membenci Islam dan kumpulannya yang sebenar bagi mencacatkan wajahnya yang sebenar," katanya.

Selain itu, kata Abdul Hadi, seteru mereka juga "membeli" agamawan atau tokoh yang bertopengkan agama untuk memutarbelitkan ajaran agama.

"Mereka ialah daripada kalangan agamawan yang berwawasan dunia sahaja tanpa berwawasan akhirat. Hal ini disebabkan mereka mengejar harta dan pangkat, sehingga sanggup menjual agama dengan harga yang murah, menegakkan kebatilan dan menyembunyikan kebenaran," katanya.

Namun, kata ahli parlimen Marang itu lagi, meski dengan semua cabaran itu, PAS tetap memilih demokrasi meski "padang tidak sama rata".

"Ditakut-takutkan masyarakat dengan jenama bahaya gelombang hijau.

"Walau bagaimanapun, PAS tetap memilih pendekatan perlawanan secara damai berprinsipkan demokrasi, walaupun berlawan di atas padang yang tidak sama rata dan sistem yang tempang terhadap Islam," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS