Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu bas, van pelancongan tak berpuas hati dikecualikan subsidi diesel
Diterbitkan:  May 28, 2024 3:34 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Persatuan Pemandu Van Pelancongan Malaysia melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Program Subsidi Diesel Budi Madani yang diumumkan semalam.

Pengerusinya, Simon Sim berkata program bantuan subsidi diesel tidak memberi manfaat kepada pemandu bas persiaran atau van pelancong.

Simon Sim

"Apabila harga diesel diapungkan mengikut kadar pasaran, sudah pasti kos operasi pemandu akan naik, sekali gus meningkatkan beban pengguna dan memburukkan lagi inflasi," kata Sim dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata persatuan itu memahami beban subsidi terhadap kewangan negara dan bersetuju dengan kepentingan untuk merasionalkannya secara beransur-ansur.

Bagaimanapun, katanya bas persiaran dan van pelancong turut memberi perkhidmatan kepada orang ramai dan perlu terus menerima subsidi.

Sim menambah, persatuan itu akan menulis kepada kementerian kewangan untuk menyatakan pendirian dan berharap kerajaan akan mempertimbangkan semula program subsidi diesel untuk mereka.

Mulai hari ini, pemilik kenderaan diesel di Semenanjung Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 boleh memohon subsidi menerusi Program Bantuan Subsidi Budi Madani (Budi).

Penerima yang layak akan menerima RM200 sebulan sebagai subsidi diesel yang disasarkan.

Skim Budi Madani disasarkan kepada pemilik kenderaan persendirian dan pengusaha kenderaan pertanian. Ia melengkapkan skim Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang disasarkan kepada kenderaan pengangkutan komersial.

Senarai soalan lazim yang disiarkan di laman web aplikasi Budi Madani secara jelas  mengecualikan van pelancongan dan bas daripada menerima subsidi Budi Madani.

Sementara itu, laman web SKDS menyenaraikan 33 jenis kenderaan komersial yang layak mendapat subsidi di bawah skim SKDS seperti bas sekolah, kereta sewa, teksi dan pelbagai jenis lori kargo.

Van pelancongan dan lori tidak disebut dalam senarai.

[Baca berita penuh]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS