Pemberian pemberian kontrak pengangkutan kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Molliliti), yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, harus disiasat seperti biasa, kata Anwar Ibrahim.
“Yang itu, serah kepada pihak berkuasa. Kalau ada laporan, siasatannya patut telus,” kata perdana menteri.
Ditanya lagi oleh pemberita, Anwar berkata ia patut dilayan seperti kes lain yang perlu disiasat.
“Kalau ada laporan, ada siasatan. Dan patut ada penjelasan. Apa prosesnya? (Ini) patut dianggap satu kes biasa yang patut disiasat,” katanya.
Anwar berkata demikian selepas melancarkan sebuah forum ekonomi dan kewangan di Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki semalam tidak melihat sebarang kesalahan berhubung pemberian kontrak inisiatif Mobiliti Selangor kepada Asia Molliliti kerana kontrak itu bukan diberikan oleh kementerian Yeoh.
Bagaimanapun, penjelasan itu tidak memuaskan hati pemimpin pusat Umno Mohd Puad Zarkashi yang membandingkannya dengan kes National Feedlot Corporation (NFCorp) yang dikaitkan dengan menteri parti itu sebelum ini.
Dalam kes itu, Mohamad Salleh Ismail, suami kepada bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil Mohamad Salleh Ismail, disiasat dan diheret ke mahkamah.
Bersatu pula mempersoalkan sama ada SPRM “buta” kerana orang ramai pun dapat melihat berlakunya “salah tata kelola, mungkin ada salah guna kuasa, salah guna jawatan, salah guna perhubungan dan jaringan”.
Asia Mobiliti semalam menegaskan pelantikan mereka dilakukan melalui proses awam hampir setahun yang lalu dan mendakwa mereka menjadi mangsa serangan kempen atas talian oleh pihak yang tidak dikenali.
Syarikat itu justeru akan mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang.