Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kontrak buat syarikat suami menteri - Pemimpin Umno, Bersatu bidas SPRM
Diterbitkan:  May 27, 2024 5:59 PM
Dikemaskini: May 28, 2024 7:11 AM

Pemimpin pusat Umno Mohd Puad Zarkashi membidas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki yang berkata dia tidak melihat sebarang kesalahan undang-undang berhubung pemberian kontrak inisiatif Mobiliti Selangor kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Molliliti), sebuah firma yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Mohd Puad Zarkashi

“Suami menteri KBS mendapat kontrak daripada kerajaan Selangor dan dia (Yeoh) adalah Menteri Belia dan Sukan, jadi tiada kaitan.

“Oleh itu tidak perlu siasat walaupun bukan melalui tender terbuka. Ia bukan conflict of interest. Ohh gitu…, katanya  dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu seterusnya menyoal mengapa dalam kes National Feedlot Corporation (NFCorp) yang membabitkan suami bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil iaitu Mohamad Salleh Ismail , ia disiasat dan dibawa ke mahkamah.

“Persoalannya kenapa dalam kes feedlot dulu, Tan Sri Shahrizat disiasat?

“Akhirnya mahkamah membuktikan keluarga beliau mangsa fitnah selama 12 tahun,” kata Puad lagi.

Azam hari ini dipetik sebagai berkata, suami Yeoh, Ramachandran Muniandy tidak perlu disiasat kerana kontrak diberikan oleh entiti berbeza iaitu kerajaan negeri Selangor dan bukan oleh kementerian yang diterajui oleh isterinya.

"Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

"Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan," kata Azam.

Pada Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Putrajaya gagal membuktikan sebarang salah guna berkaitan pinjaman RM250 juta kepada National Feedlot Corporation (NFCorp).

Hakim Anand Ponnudurai memutuskan bahawa wang pinjaman tidak digunakan secara salah dan tiada pelanggaran kewajipan fidusiari oleh 11 defendan, yang turut termasuk tiga anak Salleh - ketua pegawai eksekutif syarikat Wan Shahinur Izran, dan pengarah Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah.

Mahkamah juga membebaskan keluarga Salleh sepenuhnya daripada sebarang dakwaan penyelewengan.

Razali Idris

Sementara itu turut membidas Azam adalah Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris yang bekata, dirinya tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor dengan menteri belia dan sukan.

“Apa yang SPRM seolah-olah nampak buta? Adakah KP SPRM yang baru perbaharui kontrak begitu bersahaja mengatakan pemberian kontrak DRT tidak ada salahnya?

“Rakyat yang marhaen pun boleh nampak dari aspek salah tadbir-urus, salah tata kelola, mungkin ada salah guna kuasa, salah guna jawatan, salah guna connection dan networking. Semua perkara ini perlu diperhalusi dan diperincikan,” katanya dalam hantaran di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS