KES 1MDB | Seorang pegawai penyiasat SPRM setuju dengan pasukan pembelaan Najib Razak bahawa ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho bertindak sebagai "dalang (puppet master)" untuk 1MDB.
Nur Aida Arifin berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.27 bilion terhadap Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Shafee: Anda kata Jho Low main peranan utama yang aktif dalam mengatur operasi 1MDB. Adakah maksud anda macam permainan catur atau puppet master?
Nur Aida: Betul.
Shafee: Anda kata Jho Low macam puppet master (dalang)?
Nur Aida: Dia catur (buat percaturan).
Shafee: Anda faham permainan catur?
Nur Aida: Ya.
Shafee: Anda kata dia kawal (1MDB)?
Nur Aida: Ya.
Dalam perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan berhujah Jho Low adalah cerminan Najib dan dia memberi arahan kepada anggota pengurusan 1MDB.
Namun, pasukan pembelaan berkata Najib tidak tahu-menahu berkenaan penyelewengan dalam syarikat itu dan sebarang salah laku didalangi Jho Low dan anggota pengurusan yang lain.
Pada September 2019, ketika perbicaraan di depan hakim Collin Lawrence Sequerah, bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin dalam keterangannya berkata Low bertindak seperti seorang "puppet master".
Dia berkata Jho Low berkeupayaan untuk meletakkan orang-orangnya di pelbagai peringkat untuk memastikan tujuannya dapat dicapai.
Dia juga mengibaratkan Jho Low seperti seorang pengadil yang mempunyai hubungan dengan pelbagai pihak dalam sebuah perlawanan bola sepak, termasuk pengurus kedua-dua pasukan dan malah "orang yang buat stadium", selain menyifatkannya sebagai "master manipulator".
Kuasa mutlak
Sementara itu, Nur Aida dan Shafee berbeza pandangan berhubung sama ada Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri atau tidak.
Menurut Shafee, berbeza dengan M&A syarikat itu, M&A Petronas memberi kuasa "mutlak" kepada perdana menteri untuk menolak keputusan syarikat itu.
Nur Aida setuju dengan kenyataan itu dan pada masa sama menegaskan M&A 1MDB turut memberi kuasa serupa kepada Najib ketika dia menjadi perdana menteri.
Menurut Artikel 117 itu, persetujuan bertulis perdana menteri diperlukan sebelum 1MDB membuat keputusan dalam pelbagai perkara.
Perbicaraan bersambung esok.