Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
12 ditahan disyaki terlibat sindiket 'love scam' sasar warga AS

Sejumlah 12 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penipuan Love Scam dan judi dalam talian dengan menjadikan warganegara Amerika Syarikat sebagai mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua suspek terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 43 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di ibu negara pada 16 Mei lalu.

Dia berkata pihaknya merampas antaranya sembilan unit laptop, 33 unit telefon bimbit, seutas rantai manik, lima bentuk cincin, dua utas jam tangan mewah dan wang tunai pelbagai matawang.

“Sindiket beroperasi sejak April. Kesemua individu yang ditahan berperanan sebagai ejen pusat panggilan dan menerima gaji RM2,500 sebulan serta empat peratus komisen daripada jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di Kuala Lumpur, hari ini.

Ramli berkata bagi memperdaya mangsa, sindiket mencipta akaun media sosial palsu melalui Facebook dan Instagram seterusnya berkenalan dengan mangsa dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat.

Katanya lagi mangsa kemudiannya akan ditawarkan pautan judi dalam talian dan akan kehilangan kesemua wang yang dipertaruhkan.

Dia berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS