Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azam: Tiada salah beri kontrak kepada syarikat suami Yeoh
Diterbitkan:  May 27, 2024 12:54 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata dia tidak melihat sebarang kesalahan undang-undang berhubung pemberian kontrak inisiatif Mobiliti Selangor kepada Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Molliliti), sebuah firma yang dikaitkan dengan suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

BH melaporkan Azam sebagai berkata, ini kerana kontrak itu diberikan oleh entiti berbeza iaitu kerajaan negeri Selangor dan bukan oleh kementerian Yeoh.

"Saya tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu tetapi apa yang ingin saya katakan, sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan

"Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan," kata Azam.

Dia berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata SPRM perlu campur tangan dan menyiasat secara menyeluruh perkara itu bagi memastikan penganugerahan projek itu bukan disebabkan nepotisme atau layanan istimewa.

Hari ini, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, P Ramasamy menggesa Yeoh meletak jawatan sebagai menteri, atau suaminya Ramachandran Muniandy berundur sebagai CEO syarikat itu.

“Untuk mengelakkan rasa malu sama ada Yeoh mesti meletakkan jawatan sebagai menteri atau Ramachandran berhenti daripada syarikat itu

“Pemilik bersama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan pengasas Malaysiakini Premesh Chandran telah muncul untuk mempertahankan anugerah projek transit kepada syarikatnya, yang turut dianugerahkan kepada syarikat lain.

“Kedua-duanya dianugerahkan projek itu melalui rundingan terus dan bukannya melalui sistem tender terbuka seperti yang dilaungkan kerajaan pimpinan PH.

"Persoalannya: bagaimana projek itu boleh dianugerahkan melalui rundingan terus sedangkan ketua pegawai eksekutif atau CEO kebetulan ialah suami kepada Yeoh," soal Ramasamy.

Ramasamy berkata dia tidak mempersoalkan mengenai keupayaan syarikat berkenaan untuk melaksanakan projek itu.

“Saya yakin Premesh dan Ramachandran ialah individu yang berwibawa untuk melaksanakan projek itu.

"Malangnya, Ramachandran kebetulan ialah suami kepada Yeoh, seorang pemimpin kanan DAP, sebuah parti yang menyokong tender terbuka dan ketelusan dalam pemberian projek kerajaan," kata Ramasamy yang keluar daripada DAP selepas dia gagal dipilih sebagai calon pilihan raya bagi kerusi DUN di Pulau Pinang tahun lepas.

‘Yeoh bukan orang biasa’

Ramasamy berkata kerajaan pimpinan PH telah gagal mematuhi prinsip yang ditetapkannya.

“Saya pasti negeri Selangor atau jawatankuasa pemberian tender pasti tahu hubungan Ramachandran dan Yeoh.

"Yeoh bukan orang biasa tetapi seorang menteri kabinet yang mesti berada di atas kronisme dan pilih kasih. Walaupun jawatankuasa pemilihan tidak mengetahui hubungan keluarga Yeoh dan Ramachandran, Yeoh sepatutnya lebih tahu dalam menasihati suaminya.

"Dia harus menasihatinya untuk tidak terlibat dalam projek itu sejak awal," kata Ramasamy.

Tambahnya, dia terkejut apabila Premesh tampil mempertahankan penganugerahan projek transit itu kepada syarikatnya.

“Dia kata, anugerah itu diberikan atas alasan kecekapan dan pengetahuan mengenai projek itu. Tetapi malangnya, sama ada Premesh sedar atau tidak, suami menteri merupakan CEO ialah masalah utamanya.

"Saya pasti Premesh tidak boleh menolak fakta ini, titik memalukan kerajaan Madani di peringkat persekutuan dan negeri," kata Ramasamy.

Premesh adalah juga bekas ketua pegawai eksekutif Malaysiakini dan ahli lembagai pengarah syarikat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS