Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chegubard cabar perintah 'tutup mulut isu kasino' di Mahkamah Rayuan

Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard memfailkan permohonan kebenaran Mahkamah Rayuan untuk menyemak keputusan perintah larangan bersuara (gag order) yang dibuat terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Peguamnya Muhammad Rafique Rashid Ali berkata pihaknya telah memfailkan rayuan menyemak keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan pada 23 Mei yang lalu.

"Pada Khamis lepas, kita telah pun memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan ke atas kedua-dua kes tersebut. Kita belum ada tarikh perbicaraan di mahkamah rayuan.

"Tapi, apa kita nak buat adalah kita nak minta mahkamah rayuan membuat keputusan sama ada keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan Kuala Lumpur tersebut betul atau tidak dari segi undang-undang.

"Pada kami kebebasan bersuara itu walaupun tidak mutlak ia mesti memberi cukup ruang kepada seorang tertuduh," katanya kepada pemberi di luar mahkamah tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 20 Mei mengeluarkan perintah larangan bersuara terhadap Chegubard.

Perintah itu melarangnya daripada mengeluarkan sebarang kenyataan atau komen berhubung kes kasino di Forest City, Iskandar Puteri sehingga perbicaraan terhadapnya selesai.

Hakim Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan untuk menyemak keputusan mahkamah sesyen yang menolak permohonan perintah sama, sebelum ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut membuat perintah yang sama berhubung selepas dia dituduh atas dua kesalahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membabitkan kes hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Pada 30 April lalu, Chegubard didakwa di Mahkamah Sesyen, di Johor Bahru, atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut berhubung projek kasino di Forest City.

Sementara itu, Chegubard menyoal kenapa Perdana Menteri Anwar Ibrahim masih tidak mengambil tindakan terhadap dua portal media yang melaporkan cadangan pembinaan kasino di Forest City di Johor.

"Dua portal itu masih tidak menurunkan laporan itu. Tapi, apa yang berlaku adalah sampai ke saat ini, artikel-artikel itu boleh diakses dari seluruh dunia.

"Jadi, PM ini nak karut apa ini. Orang cakap kamu kata fitnah, berniat jahat. Dalam keadaan kamu tidak berbuat apa-apa terhadap artikel tersebut," katanya.

Terdahulu, laporan Bloomberg memetik sumber sebagai mendakwa Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di sana dan Anwar telah bertemu dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting pada minggu lalu.

Menurut laporan itu, wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta pegawai kanan kerajaan lain turut hadir pada mesyuarat itu. Sultan Ibrahim ialah antara pemegang saham projek itu.

Terdahulu, Chegubard hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi pengurusan kes terhadap pertuduhan yang dihadapinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS