Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hamzah elak jawab apakah PN sokong tauke kaya - Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyindir ketua pembangkang Hamzah Zainudin kerana mengelak daripada menjawab persoalan apakah PN menyokong golongan kaya serta warga asing berhubung rasionalisasi subsidi.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar berkata Hamzah mengelak daripada menjawab soalan berkenaan, namun sebaliknya mengalih perhatian dengan meminta perdana menteri melawat pasar basah.

"Hampir saban minggu saya ke warung-kecil kecil dan pasar.

"Dan setiap kali saya pergi, saya tanya harga barang, masalah mereka.

“Tetapi, saya ingat dia (Hamzah)nak elak dari jawapan tentang parti itu mendukung tauke-tauke kaya dan orang asing, itu dia belum jawab," katanya selepas menghadiri Pameran Era Pascanormal Madani di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu, mengecam Anwar kerana tidak mengumumkan bila rasionalisasi subsidi bahan api akan dimulakan.

Hamzah turut meminta Anwar supaya melawat pasar basah di sekitar ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barangan yang memberi kesaan terhadap orang ramai.

Pada 21 Mei lalu, Anwar mengumumkan kerajaan akan menamatkan subsidi diesel, dengan jangkaan penjimatan RM4 bilion yang menurutnya hanya menguntungkan "maha kaya" dan lebih tiga juta warga asing sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya kerajaan akan terus memberi subsidi diesel untuk 10 jenis pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barangan, bagi mengekang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.

Dalam pada itu, Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata kementerian berkaitan akan mengumumkan butiran pelaksanaan subsidi bersasar tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata mekanisme pelaksanaan dan tarikh subsidi diesel bersasar akan dijelaskan oleh Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

"Menteri kewangan kedua akan beri penjelasan dalam masa singkat.

“Ini bukan semua PM lakukan. Saya beri gambaran, kerangka besar. Kemudian, akan ada tindakan susulan, sebab tu saya kasi tahu antara dasar dan titik bengik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS