Calon yang akan menggantikan Abdul Ghani Salleh sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang baru telah dikenal pasti, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada media hari ini, Anwar berkata calon baru akan dilantik mengikut proses yang ditetapkan.
“Sudah... kita ikut prosesnya dan akhirnya, dapat perkenan dari Yang di-Pertuan Agong,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri Pameran Era Pasca- Normal Madani di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur hari ini.
Jawatan Pengerusi SPR kosong pada 9 Mei berikutan Ghani bersara wajib setelah mencapai umur 66 tahun.
Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom menggesa ketelusan dalam pelantikan pesuruhjaya di agensi itu.
Azmi mengakui pelantikan anggota SPR pada masa ini, termasuk dirinya sendiri, "diselebungi kerahsiaan dan kekaburan".
Mengulas perkara itu Anwar berkata dia memahami kebimbangan dibangkitkan Azmi.
Bagaimanapun, katanya, Azmi sebagai timbalan pengerusi, tidak dirujuk dalam proses pelantikan.
“Kita perlu melalui proses yang sewajarnya,” katanya.
Pada 9 Mei lalu, badan pemantau pilihan raya, Bersih mendakwa PH dan BN mungkir janji sebanyak dua kali sejak pilihan raya umum kerana melantik dua anggota SPR, iaitu Sapdin Ibrahim dan Lee Bee Phang, tanpa proses terbuka dan telus.
Kebimbangan sama dibangkitkan oleh Tindak Malaysia, yang menggesa perlembagaan dipinda berhubung pelantikan pengerusi dan pesuruhjaya SPR untuk mengembalikan keyakinan orang ramai.
Bekas timbalan menteri Ong Kian Ming juga menyuarakan gesaan supaya nama bakal pengerusi SPR diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi sebelum diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan.