Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Jangan sampai reformasi tak sempat dilaksana sebelum tamat penggal

Bersih mengingatkan kerajaan bahawa tahun ini dan tahun depan adalah tahun kritikal untuk memacu peralihan demokrasi serta melaksanakan reformasi.

Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz menyuarakan kebimbangan jika agenda reformasi tidak dilaksanakan sekarang, ia akan "berkubur" dan pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan mendapat peluang untuk melaksanakannya sebelum tamat penggal penuh.

“Kami telah terangkan kepada PMX (Anwar) bahawa ini adalah masa yang sesuai untuk anda melaksanakan agenda reformasi.

“Terdapat pilihan raya negeri di Sabah dan Sarawak, diikuti Melaka dan Johor. Ahli politik akan sibuk bercakap tentang pilihan raya.

"Kami tidak mahu reformasi terkubur dalam tempoh empat tahun kerajaan perpaduan," kata Faisal semasa ucapan dasar pada Kongres Bersih yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) hari ini.

Kerajaan pimpinan Anwar dikecam kerana pelaksanaan agenda reformasi disifatkan sebagai perlahan dan tiada peningkatan dan kemajuan yang ketara.

Dalam perkembangan berkaitan, Faisal menyatakan kekecewaan kerana realiti semasa demokrasi difahami oleh ahli politik dan mereka yang berkuasa untuk sekadar "melengkapkan tangga ke puncak kuasa".

"Hak demokrasi semata-mata dikanunkan dalam undang-undang tanpa penghayatan nilai-nilai kedaulatan rakyat," tambahnya.

Justeru, katanya kongres yang diadakan hari ini bertujuan menuntut pembaharuan dan memperkasakan demokrasi.

Ia juga untuk menghidupkan semula harapan rakyat terhadap pembaharuan, yang akan disusuli dengan tindakan ke arah itu.

Sebelum ini, dalam satu kenyataan, Bersih berkata kongres itu berfungsi sebagai peringatan kepada kerajaan perpaduan untuk menunaikan janji reformasi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS