Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Sarawak akan terokai potensi luar biasa AI - Abang Johari

Kerajaan Sarawak komited untuk meneroka potensi luar biasa teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membuka potensi penuh kesalinghubungan yang membawa kepada peningkatan kecekapan, produktiviti dan inovasi di negeri ini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha mereka dalam melaksanakan strategi dan penyelesaian digital serta menyediakan perkhidmatan kerajaan yang beretika dan telus untuk meningkatkan kualiti hidup setiap warga Sarawak.

“Kerajaan Sarawak mengesahkan komitmennya untuk memajukan wawasan Sarawak untuk menjadi kuasa besar ekonomi digital untuk negara dan wilayah.

"Kami bercita-cita tinggi dan proaktif tentang masa depan digital Sarawak dan saya optimis bahawa kami akan mencapai objektif kami dengan Sarawak akan menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh inovasi dan teknologi," katanya dalam ucapannya pada majlis menandatangani Perjanjian SMART600 SMART600 Multi Operator Core Network antara Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) dengan CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL di Kuching, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Abang Johari turut menjemput pemain industri untuk menghadiri Persidangan Ekonomi Digital

Antarabangsa Sarawak (IDECS 2024) yang akan berlangsung dari 17 hingga 18 Okt di Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

Memasuki tahun ketujuh dianjurkan tahun ini dengan bertemakan, ‘AI for Sustainable Development: Navigating the Green and Circular Future’, beliau berkata persidangan itu akan menghimpunan lebih 1,500 pemimpin global, inovator dan pihak berkepentingan untuk membincangkan topik utama seperti teknologi hijau dan inovasi, perkongsian kolaboratif, rantaian bekalan bulat dan topik lain yang berkaitan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS