Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Tuduhan DAP jahat, serangan mungkin tiada kaitan dengan politik’
  • Disunting semula supaya memberikan gambaran lebih tepat.


Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa tuduhan bahawa pemimpin PAS sebagai punca serta berperanan menyemai kebencian terhadap DAP adalah berniat jahat dan tidak berasas.

Mengulas dakwaan bahawa tindakan pemimpin pembangkang punca pengikut mereka menjadi radikal, pemimpin Bersatu itu, berkata, pertuduhan mengaitkan PAS dengan fahaman ekstremis itu amat membahayakan dan mengundang kemarahan umat Islam.

Sambil mempertahankan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal yang juga timbalan ketua pemuda PN menepis dakwaan tersebut dengan menegaskan sikap orang Melayu yang tidak melampaui batas ketika berpolitik.

"Saya rasa tuduhan ini tidak tepat malah tuduhan ektremis itu perlu disiasat lebih teliti oleh pihak berkuasa," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 21 Mei lalu, ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng mendakwa pemimpin PAS bertanggungjawab menyemai kebencian terhadap DAP serta berperanan dalam mempengaruhi minda penyokong sehingga menjadi radikal.

Ia susulan beberapa rentetan peristiwa yang menyaksikan pemimpin DAP menjadi sasaran serangan pihak-pihak yang belum dikenal pasti.

Antaranya, pada awal pagi, 10 Jan lalu, rumah ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilempar dengan bom petrol.

Kemudian pada 7 Mac lalu, salinan nota bertulis tangan dengan tulisan "jangan cabar Islam" pula ditabur di luar kediaman ibu bapa Menteri Perumahan dan Tempatan Nga Kor Ming di Ayer Tawar, Perak.

Terbaru, pada 19 Mei lalu, ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula menerima ugutan bunuh dalam bentuk surat termasuk dua butir peluru yang dihantar ke kediamannya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, tidak diketahui jika motif serangan terhadap pemimpin DAP sebelum ini ada berkaitan dengan politik, justeru, tidak patut mereka menuding jari kepada PAS.

"Kita tidak tahu tindakan (serangan) yang dibuat ke atas Teresa (Kok) dan Ngeh sebelum ini adalah berlandaskan politik. 

“Jadi, kenapa dipersalahkan PAS?" katanya.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, PAS adalah parti yang mengamalkan prinsip keamanan dan adalah tidak munasabah untuk mengaitkan parti itu dengan keganasan dan mencetus kekacauan.

Tegasnya, PAS berjuang atas dasar prinsip demokrasi 'muwajahah silmiah' iaitu pertembungan secara aman.

"Jadi logik (dakwaan) DAP itu tidak tepat, malah membahayakan dan mengundang kemarahan umat Islam dengan mengaitkan PAS dengan (fahaman) ekstremis," katanya.

Sehubungan itu, bekas timbalan menteri perpaduan semasa kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob itu turut mengutuk serangan ke atas mana-mana wakil rakyat dan juga orang awam.

Menurutnya, dia akan merangka satu usul untuk memperkukuhkan keselamatan wakil rakyat dan akan membentangkannya di Parlimen.

Selain itu, dia juga mencadangkan supaya diwujudkan satu undang-undang yang boleh dikenakan terhadap pihak yang melakukan ugutan atau ancaman terhadap wakil rakyat di media sosial.

"Kalau kita tengok di media sosial, ugutan dibuat dalam Twitter (X), Facebook, saya pun terkena (ugutan) sekali termasuklah perdana menteri. Bagi saya, ini elemen yang perlu diuruskan oleh undang-undang.

"Mana-mana pihak yang mengugut walaupun menggunakan akaun palsu di media sosial terhadap mana-mana ahli parlimen dengan menggunakan bahasa yang mengancam nyawa dan keselamatan mereka, pihak polis boleh terus ambil tindakan tanpa laporan dibuat," katanya lagi.

Dia berpandangan tindakan tidak bertanggungjawab seperti di media sosial itu antara punca yang membibitkan sikap radikal antara penyokong kedua-dua belah pihak.

"Bukan salah orang politik, kadang-kadang penyokong yang melebih-lebih. Sama ada penyokong DAP, PAS atau Bersatu, semua parti ada orang (penyokong) yang ekstrem.

"Jangan salahkan parti, salahkan penyokong itu sendiri," tambahnya.

"Kita nampak trend ini wujud di kedua-dua belah pihak. Jadi, kita kena bertenang dan kembali ke tengah (matlamat asal) bincang pasal negara," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS