PANDUANKINI l Pada 15 Mei lalu, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham dalam Malaysia Airport Berhad (MAHB) yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.
Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan Global Infrastructure Partners (GIP) - menerusi GIP Aurea Pte Ltd.
Namun, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa ia akan menjejaskan kewibawaan Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai pejuang Palestin.
Panduankini kali ini meneroka urus niaga tersebut, syarikat terlibat dan mengapa ia mengundang kritikan pembangkang.
Tentang pengambilalihan
MAHB adalah pemegang konsesi utama untuk lapangan terbang di Malaysia, dengan 39 lapangan terbang di seluruh negara di bawah pengurusannya.
Menurut salinan tawaran prasyarat tersebut yang disiarkan secara dalam talian, GDA berhasrat untuk mengambil alih baki 1,118,098,325 saham biasa dalam MAHB yang belum dimilikinya.
Ia adalah sebahagian usaha untuk menswastakan MAHB. Dalam kenyataannya, Khazanah berkata GDA yakin langkah ini akan membawa kepada kesan positif berpanjangan pada ekonomi.
Sebaik prasyarat dicapai, Khazanah berkata konsortium itu akan memiliki sekurang-kurangnya 90 peratus modal saham MAHB.
Menurut laporan, MAHB dijangka akan dinyah senarai daripada Bursa Malaysia selepas prasyarat dicapai dan tawaran selesai, dengan jangkaan ia dapat dicapai pada suku keempat tahun ini.
Tentang GDA
Tawaran prasyarat menyatakan GDA diperbadankan di Malaysia pada Mac lalu, dengan Mohd Asrul Ab Rahim sebagai pengarah.
Pada masa ini, Mohd Asrul adalah naib presiden kanan bahagian pelaburan Khazanah.
GDA diwujudkan secara khusus untuk tawaran itu, antara Pantai Panorama Sdn Bhd (PPSB), Kwasa Aktif Sdn Bhd (KASB) dan GIP Aurea.
Tidak banyak maklumat berkenaan PPSB dan KASB di internet.
Tawaran prasyarat pula menyatakan PPSB adalah subsidiari milik penuh tak langsung Khazanah.
Pada masa ini, PPSB memegang 550,456,107 saham, iaitu 32.99 peratus modal saham yang diterbitkan MAHB. Saham tersebut dipindahkan daripada Khazanah.
Siapa yang terlibat?
Entiti GIP yang terlibat dalam urus niaga ini, iaitu GIP Aurea, ditubuhkan di Singapura dengan 83.3 peratus pegangannya dimiliki GIP, menurut The Edge.
Menurut tawaran prasyarat, GIP Aurea akan memiliki 30 peratus kepentingan ekonomi efektif dalam MAHB jika urus niaga itu berjaya.
Ini bermakna GIP - yang ditubuhkan pada 2006 - akan memiliki 25 peratus pegangan efektif dalam MAHB.
Kontroversi
Pada Januari lalu, Blackrock, iaitu syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat, mengumumkan ia dalam proses mengambil alih GIP pada harga AS$3 bilion (kira-kira RM14 bilion) secara tunai.
Pengambilalihan itu dilaporkan akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini.
BackRock didakwa menyokong regim Israel kerana ia memiliki pegangan dalam lima syarikat yang membekalkan senjata kepada tentera Israel.
Justeru, penyokong Palestin di Amerika Syarikat menyasarkan syarikat itu dalam kempen boikot dan protes mereka.
Maklumat berikut diperoleh di Fintel.io, yang mengambil maklumat daripada pemfailan syarikat engan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat:
8,292,313 saham (7.4 peratus) dalam Lockheed Martin, yang mengeluarkan jet pejuang yang digunakan tentera Israel dalam serangan di Gaza.
36,652,729 saham (6.4 peratus) dalam Boeing, yang menyatakan ia sebagai "rakan penerbangan komersial Israel secara umum dan syarikat penerbangan Israel, El Al secara khusus, sejak penubuhannya". Ia juga membekalkan jet pejuang F-15 dan helikopter penyerang AH-64.
14,500,792 saham (5.3 peratus) dalam General Dynamics Corporation, yang dilaporkan membekalkan senjata kepada tentera Israel, termasuk pelbagai jenis bom aerial.
9,492,177 saham (6.3 peratus) Northrop Grumman Corporation, yang dilaporkan membekalkan misil dan teknologi untuk sistem persenjataan utama kepada Israel.
104,985,755 saham (7.3 peratus) dalam RTX Corporation (sebelum ini dikenali sebagai Raytheon Technologies Corp), yang dilaporkan membekalkan misil untuk sistem pertahanan Iron Dome yang digunakan Israel.
Selain itu, BlackRock juga ada cawangan di Tel Aviv.
Pada Jun tahun lalu, Blackrock membeli syarikat British-Israel, Kreos Capital. Menurut Blackrock, syarikat itu adalah "penyedia hutang pertumbuhan dan usaha niaga utama di Eropah dan Israel".
Kenapa GIP terlibat dalam urus niaga MAHB?
GIP melabur dalam infrastruktur di banyak negara, dengan beberapa lapangan antarabangsa di dalam portfolionya.
Khazanah menyifatkan GIP sebagai "antara pelabur infrastruktur utama dunia dan pengurus serta pemilik lapangan terbang yang berpengalaman".
Namun, Wan Fayhsal membangkitkan yang beberapa lapangan terbang terburuk di dunia adalah di bawah pengurusan GIP.
Dia merujuk Lapangan Terbang Sydney di Australia dan Lapangan Terbang Gatwick di London, yang tersenarai sebagai antara lapangan terbang terburuk di dunia.
Pada masa sama, Lapangan Terbang London City juga dimiliki GIP. Menurut senarai 100 lapangan terbang terbaik 2024 yang dikeluarkan Skytrax, lapangan terbang itu berada di kedudukan ke-80.
KLIA pula di kedudukan ke-71.
Respons ahli politik lain berhubung perkaitan GIP dengan Zionis
Selain Wan Ahmad Fayhsal, Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden turut membangkitkan kebimbangan kemungkinan syarikat pro-Israel memiliki pegangan dalam MAHB.
"Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan sebarang syarikat yang pro-Israel tidak sepatutnya diberi ruang untuk bertapak di Malaysia, lebih-lebih lagi di tempat strategik seperti lapangan terbang.
"Malaysia sudah jelas dan tegas dengan pendirian bahawa kita tidak akan menormalisasikan sebarang hubungan dengan Israel. Hatta, hubungan perdagangan sekalipun," katanya.
Katanya, GIP akan meraih keuntungan daripada penglibatannya dalam MAHB dan menyumbang kepada tindakan Israel terhadap Palestin.
Pada masa sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata dia tidak mengelirukan Parlimen apabila menyatakan MAHB tidak akan dijual kepada GIP.
“Dia (Wan Fayhsal) kata kita jual, kita tak jual...Saya tetap dengan apa yang saya cakap di Parlimen. Saya tak bercakap secara berseloroh," katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Pada Mac lalu, Loke berkata di Dewan Rakyat yang tiada pengumuman rasmi berhubung hasrat kerajaan menjual MAHB kepada GIP.
Sementara itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyangkal laporan berkenaan perkara itu dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Dia berkata pembangkang membangkitkan dakwaan itu untuk melahirkan kebencian rakyat kepada kerajaan.
“.. tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki.
"Segala kenyataan kita yang diakui oleh dunia termasuk pertemuan dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh tidak beri sesuatu yang positif kepadanya, yang dicari adalah fitnah dan hasutan.
"Ringgit dan bursa bertambah mengukuh itu hanya menyakitkan hati mereka (pembangkang)," katanya.
Adakah penswastaan MAHB akan menyumbang kepada ekonomi tempatan?
Setakat ini, para pelabur menunjukkan keraguan terhadap langkah itu.
Menurut laporan The Edge pada 16 Mei lalu, pengasas Endau Analytics Shukor Yusof berkata tiada sebab bagaimana langkah itu akan memberi manfaat kepada lapangan terbang di Malaysia.
"Dan idea penswastaan ini digembar-gemburkan tanpa menimbang soal bagaimana MAHB dapat menjadi agen perubahan untuk industri penerbangan di Malaysia," katanya.