Paling Popular
Terkini

Negeri Tamil Nadu di selatan India menggunakan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mencegah kematian gajah akibat dilanggar di landasan kereta api.

Menurut laporan BBC, jabatan perhutanan negeri itu setakat ini membina 12 menara di sepanjang dua landasan kereta api di bandar Madukkarai, dengan setiap menara dilengkapi kamera AI yang boleh mengesan imej terma dan cahaya nampak (visible light), selain pantauan secara langsung.

Pengurus projek Ashish Rajput berkata kamera tersebut setanding dengan kamera yang digunakan Tentera India di sepanjang sempadan negara untuk mengesan manusia berhampiran landasan kereta api.

Dengan sistem itu, amaran akan dihantar kepada pegawai bertugas apabila gajah dikesan dalam jarak 100 kaki dari landasan. Pegawai kemudian akan membuat penyelarasan untuk memperlahankan kelajuan kereta api dan gajah akan dipandu untuk menjauhi landasan bagi mengelak daripada dilanggar.

Terdapat empat pegawai yang membuat pemantauan berterusan di bilik kawalan.

Kamera itu dipasang susulan arahan Mahkamah Tinggi Tamil Nadu pada 2021 agar jabatan perhutanan dan jabatan kereta api untuk menangani masalah kematian gajah di landasan.

Menurut data rasmi, sejumlah 36 ekor gajah mati akibat dilanggar kereta api sejak sedekad lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 11 ekor mati dilanggar di landasan Madukkarai yang berhampiran dengan hutan. Landasan itu bersilang dengan laluan migrasi gajah ke kawasan hutan lain yang berdekatan.

Sementara itu, Setiausaha Jabatan Perhutanan Tamil Nadu, Supriya Sahu berkata sebelum kamera itu dipasang, pemantauan dibuat oleh kakitangan secara berkala di sepanjang landasan.

Katanya, kaedah itu mempunyai batasan dan usaha untuk memastikan keselamatan gajah "sangat mencabar".

Namun dengan sistem pemantauan AI ini, katanya lagi, hampir 400 ekor gajah berjaya dikesan menghampiri landasan dan ia terus dilaporkan kepada pihak pengurusan kereta api, seterusnya mencegah pelanggaran daripada berlaku.

“Penggunaan teknologi ini dapat mengurangkan kemalangan melibatkan kereta api dan hidupan liar,” kata Sahu lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS