Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penerbit KiniTV Prasadh Rao meninggal dunia
Diterbitkan:  May 21, 2024 10:13 AM
Dikemaskini: 6:08 AM

Seorang petugas Malaysiakini, Prasadh Michael Rao meninggal dunia pada usia 34 tahun, semalam.

Dilahirkan pada 23 Nov 1989, Prasadh menyertai Malaysiakini pada 2010 sebagai editor kandungan komunitikini, sebuah projek oleh Malaysiakini.

Beliau kemudiannya berpindah ke KiniTV pada 2013 dan dikenali ramai di dalam talian sebagai wartawan lapangan dan pembaca berita.

Prasadh juga merupakan penyampai utama dua program utama KiniTV, buletin Inggeris #kininews dan buletin bahasa Malaysia Sekilas Fakta. Beliau juga bertugas di belakang tabir sebagai penerbit KiniTV.

Mendiang meninggalkan bapanya Michael Baboo Rao dan seorang adik perempuan Priyanka.

Prasadh terlibat dalam kemalangan jalan raya tahun lepas yang menyebabkannya lumpuh bahagian bawah badan.

Susulan itu dia terpaksa keluar-masuk unit rawatan rapi (ICU) susulan komplikasi kegagalan paru-paru.

“Dia akhirnya lalui semuanya. Semua lukanya sembuh,” kata keluarga.

Bagaimanapun, menurut keluarga lagi, ketika rawatan susulan berkala semalam, Beliau mengalami sawan.

Puncanya masih belum diketahui kerana laporan bedah siasat belum tersedia.

Sementara itu, ketua operasi Malaysiakini Tham Seen Hau berkata Prasadh seorang wartawan yang berbakat dan berdedikasi.

“Beliau hoskan acara bual bicara dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Hati kami luluh dengan berita itu,” katanya.

Tham juga berkata seluruh sidang redaksi Malaysiakini sedih dengan pemergian mendiang.

Jenazah akan ditempatkan di 92, Lorong Lima, Kampung Pandan mulai 4 petang hari ini hingga 1 tengah hari esok.

Upacara pengebumian akan berlangsung di Gereja Katolik the Sacred Heart of Jesus, Jalan Peel pada pukul 2 petang diikuti upacara terakhir di Krematorium DBKL Cheras, pada 3.30 petang esok.

Sementara itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut mengucapkan takziah dalam satu ciapan di laman X.

“Sedih menerima perkhabaran daripada rakan-rakan media tentang Penerbit KiniTV, Prasadh Michael Rao yang meninggal dunia semalam.

“Takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan rakan-rakan di Malaysiakini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS