Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS bersolidariti bersama Kok, kutuk ugutan bunuh
Diterbitkan:  May 20, 2024 8:41 AM
Dikemaskini: 12:41 AM

PAS menyatakan solidariti parti itu terhadap ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan mengutuk keras insiden ugutan bunuh terhadap pemimpin DAP itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata Kok berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang daripada apa-apa juga perbuatan jenayah dan yang bertentangan dengan undang-undang.

Gambar Hiasan - Takituddin Hassan

Beliau berkata PAS juga menuntut agar siasatan dan pendakwaan terhadap pihak terbabit disegerakan memandangkan kes keganasan dan merosakkan itu kerap berlaku sejak kebelakangan ini melibatkan ahli politik, anggota pasukan keselamatan, ahli sukan, ahli perniagaan dan sebagainya.

“Teresa (Kok) sebagai rakyat dan juga ahli Parlimen berhak mendapat semua perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang negara, selain berhak menjalani kehidupan, baik sebagai individu mahupun ahli politik, dengan aman dan bebas daripada ketakutan atau ancaman.

“PAS juga mengambil maklum bahawa pihak polis sudah pun memulakan siasatan kes di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan … PAS berharap ia dapat disegerakan kerana perbuatan jenayah seperti ini tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat kita,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Takiyuddin berkata PAS turut menggesa semua pihak sentiasa mematuhi undang-undang dan menjunjung budaya aman, menolak semua bentuk perbuatan atau kecenderungan yang boleh menggugat kesejahteraan dan keselamatan individu dan masyarakat, tanpa mengira warna kulit, kepercayaan, pegangan politik dan sebagainya.

Katanya, masyarakat mempunyai peranan yang sangat penting bagi memastikan keamanan dan ketertiban sosial dalam negara sentiasa terjamin serta dinikmati oleh semua pihak dan golongan.

Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan daripada Kok berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan di peti surat kediamannya Sabtu lalu.

“Semalam bila saya pulang ke kediaman rumah saya dan mengambil surat di peti surat saya, saya dapati ada satu sampul surat yang mengandungi benda yang agak keras di dalamnya.

"Bila saya buka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya mendapati dua butir peluru dan satu kertas putih saiz A4 bertulis:- “C*b**lu Cina?!!! Lu akan mati!!!TUNGGU!!!” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ahli parlimen DAP itu berkata dia telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis Petaling.

Katanya, surat dan peluru itu juga telah diserahkan kepada polis. Pasukan polis telah memeriksa peti surat di kondominiumnya untuk siasatan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS