Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kecam tindakan ugut bunuh Teresa
Diterbitkan:  May 19, 2024 6:16 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Kerajaan mengecam tindakan pihak yang mengugut dan mengancam keselamatan ahli parlimen di negara ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil mengulas kejadian Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menerima ugutan bunuh pada tulisan atas satu kertas putih dan dua butir peluru dalam sampul surat yang diletakkan di peti surat kediamannya semalam.

“Saya kesal kerana perkara ini tidak harus diperlakukan kepada mana-mana ahli parlimen yang telah dipilih oleh rakyat.

“Mereka ada hak untuk bersuara dan ini terpakai sama ada mereka adalah ahli parlimen di pihak kerajaan atau pembangkang, jangan diugut kerana mereka adalah suara rakyat,” katanya seperti dipetik Bernama selepas melancarkan Ekspresi Bulan Kebangsaan di ibu negara hari ini.

Berikutan insiden itu, Kok berkata dia telah membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Petaling.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis mengenai sepucuk surat amaran dan ugutan terhadap Kok.

"Hasil siasatan awal pihak polis mendapati sampul surat yang dikirim mengandungi sekeping nota berbentuk amaran dan dua butir peluru.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

"Kes masih di peringkat siasatan dan pihak polis memandang serius perkara ini dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menganggu siasatan," katanya lagi.

BACA BERKAITAN:

Teresa diugut bunuh, terima peluru


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS