Ketua Pemuda Perikatan Nasional Afnan Hamimi Taib Azamudden menimbulkan kebimbangan terhadap sebuah syarikat yang dikatakan pro-Israel yang memegang saham dalam Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB).
Dalam satu kenyataan, Afnan menyatakan bahawa pemilikan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), anak syarikat Blackrock Amerika Syarikat, akan memperoleh keuntungan yang menyumbang kepada tindakan Israel terhadap Palestin.
"Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan sebarang syarikat yang pro-Israel tidak sepatutnya diberi ruang untuk bertapak di Malaysia, lebih-lebih lagi di tempat strategik seperti lapangan terbang.
BACA BERKAITAN:
PM: 'Syarikat pro-Israel dalam MAHB' fitnah pembangkang hasut kebencian
"Malaysia sudah jelas dan tegas dengan pendirian bahawa kita tidak akan menormalisasikan sebarang hubungan dengan Israel. Hatta, hubungan perdagangan sekalipun," katanya.
Afnan turut menimbulkan kebimbangan tentang keupayaan syarikat pro-Israel itu, mempersoalkan rasional di sebalik membenarkan syarikat yang mempunyai rekod prestasi yang lemah dalam menguruskan lapangan terbang memiliki saham dalam MAHB.
"Apakah signifikannya syarikat ini diberi kebebasan untuk memiliki saham di MAHB sedangkan rekod-rekod pengurusannya di lapangan terbang lain yang dimiliki dilihat teruk dan gagal?" soalnya.
"Tiada guna hanya bersuara lantang di peringkat antarabangsa tetapi tindakan di belakang lain nadanya," tambahnya.
Dalam maklum balas segera, Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini berkata laporan yang mengatakan bahawa 25 peratus baki saham Malaysia Airport Berhad (MAHB) akan dimiliki syarikat pro Zionis, adalah tidak berasas.
Anwar menegaskan dakwaan yang dibangkitkan pembangkang itu hanyalah semata-mata untuk melahirkan kebencian rakyat kepada kerajaan.
".. tiada yang positif daripada dia (pembangkang), hanya menghasut penuh dengan kebencian dan dengki.
"Segala kenyataan kita yang diakui oleh dunia termasuk pertemuan dengan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh tidak beri sesuatu yang positif kepadanya, yang dicari adalah fitnah dan hasutan," katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan oleh NST mendakwa Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merancang untuk menjual pegangan MAHB mereka kepada GIP dan BlackRock.
Dia menyatakan bahawa GIP dimiliki sepenuhnya oleh BlackRock, pengurus aset terbesar, dan disambungkan kepada Lockheed Martin, sebuah syarikat yang membekalkan senjata yang digunakan Israel terhadap rakyat Palestin.
Satu sumber mengesahkan kepada The Edge bahawa KWSP dan Khazanah akan membentuk konsortium untuk mengambil MAHB secara persendirian dan cabang pelaburan negeri Abu Dhabi dan GIP juga akan menjadi antara rakan kongsi konsortium itu.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!