Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kira-kira 100 siswa berpakaian hitam protes 'parallel pathway'

Kira-kira 100 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam hari ini dilihat berpakaian hitam susulan protes digerakkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) institusi itu yang dikatakan membantah rancangan pembukaan UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Ini selepas UiTM secara sementara bersetuju membuka program latihan teknikal pakar jantung parralel pathway kepada tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera.

Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Yusuf Hassan memberitahu Malaysiakini sebarang perhimpunan tidak dibenarkan di dalam kawasan kampus.

“Pihak polis bantuan tidak membenarkan sebarang perhimpunan dilakukan dalam kawasan kampus.

“Malah sidang media oleh MPP juga perlu diadakan di luar kampus,” katanya.

Isu latihan teknikal pakar jantung parralel pathway kepada pegawai perubatan bukan bumiputera ini timbul apabila pelajar yang terlibat dalam Persekutuan Kolej Pakar Bedah Diraja Edinburgh dalam Pembedahan Kardiotoraks (FRCS Ed) ditolak permohonan mereka dalam Pendaftaran Pakar Kebangsaan (NSR) oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) berikutan sijil itu tidak diiktiraf.

UiTM merupakan satu-satunya universiti yang menawarkan program parallel pathway dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) dalam bidang kardiotoraks.

Penempatan tujuh orang bakal pakar kardiotoraks ini hanyalah sementara sebelum Pusat Perubatan UM (PPUM) membuka program ini.

Bagaimanapun, Yusuf menegaskan kerajaan perlu memberi jaminan supaya tiada kemasukan bukan bumiputera dalam UiTM pada masa depan.

“Kita perlu memastikan program ini dilakukan secara one-off (sekali) sahaja kerana kita khuatir jika ada demand (meminta) orang lain dan dari bidang lain,” jelasnya.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta UiTM membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti mereka menerima pelajar antarabangsa sekarang.

Pada 8 Mei, Naib Canselor UiTM Shahrin Sahib berkata universiti itu tetap komited mempertahankan Akta UiTM 1976 (Akta 173) dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang hanya membenarkan kemasukan pelajar bumiputera ke institusi berkenaan.

Bagaimanapun, Shahrin berkata UiTM akan menerima apa sahaja keputusan kerajaan yang mendapat restu Yang di-Pertuan Agong.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir (gambar atas) menegaskan tiada sebarang perbincangan di peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai cadangan membuka UiTM kepada pelajar bukan bumiputera.

Menurutnya, KPT berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, siswi UiTM Amira Azman (gambar bawah) berkata dia tidak percaya penempatan tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera yang menjalani latihan pakar kardiotoraks tersebut bersifat sementara.

Katanya, pepatah Melayu ada menyebut "sikit-sikit, lama-lama menjadi bukit."

“Pada mulanya saya lihat memang bagus jika kita buka program ini kepada mereka (pelajar bumiputera) namun bila difikirkan semula akan timbul masalah lain pula.

“Apabila UiTM setuju, mereka akan mendapat persepsi bahawa masih ada peluang yang boleh diberikan dan akan wujud permintaan yang lebih pada masa akan datang.

“Akhirnya bilangan tujuh pelajar itu akan semakin bertambah,” kata siswi itu kepada Malaysiakini.

Pun begitu, seorang lagi siswi UiTM Solehah Azizan (gambar atas) yang ditemui tidak bersetuju dengan kempen bantahan MPPK institusi pengajian itu.

“Tindakan MPP ini terlalu melulu dan tidak menyatakan perkara tersebut dengan jelas, sepatutnya (mereka) perlu fokus kepada perkara yang lebih penting berbanding isu ini.

“Saya okay saja program ini dibuka kerana ia bukan bersifat kekal dan UiTM akan dilihat sebagai universiti yang sedia membantu dalam meneruskan program mereka,” jelasnya.

Haikal Azmi pula memberitahu Malaysiakini pembukaan program tersebut kepada pelajar bukan bumiputera membantu dari segi penambahan pakar perubatan jantung di Malaysia.

“Bagi saya tidak salah untuk kita bagi tumpang buat sementara waktu kerana kita sedang sesak dengan kekurangan pakar.

“Jadi masa ini saja laa kita beri peluang kepada mereka dan saya berasa tiada apa-apa masalah yang akan timbul kelak,” kata siswa itu ketika ditanya mengenai isu berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS