Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Negara berisiko dilanda jerebu minggu ini
Diterbitkan:  May 14, 2024 1:27 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Malaysia berisiko dilanda jerebu minggu ini susulan angin yang bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah.

Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia memberi amaran bahawa pembakaran terbuka yang tidak terkawal akan mencetus fenomena jerebu dan pencemaran alam semasa monsun barat daya.

Menurut kenyataan (MET Malaysia), perubahaan angin itu dijangka bermula pada Jumaat, 17 Mei ini dan akan berterusan sehingga September.

“Monsun Barat Daya lazimnya menyebabkan angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil.

“Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak.

“Ini kerana kurangnya pembentukan awan hujan yang membawa kepada taburan hujan yang lebih rendah dalam tempoh berkenaan,” kata Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah.

Tambahanya, monsun barat daya secara amnya akan menyebabkan komposisi udara kering bagi seluruh negara dan kebanyakan negeri akan mengalami hujan bulanan minimum dengan kadar kebiasaan di antara 100-150mm.

Bagaimanapun, Muhammad menjelaskan hujan lebat berserta angin kencang dan petir akan berlaku berikutan fenomena garis badai (squall line) di pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah pada awal pagi.

Menurutnya lagi, garis badai merupakan barisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan boleh berlarutan sehingga beberapa jam.

Sehubungan itu, dia menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka yang berisiko menyebabkan fenomena jerebu dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh monsun itu.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS