Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kereta KM Melaka nyaris dihempap pokok tumbang
Diterbitkan:  May 13, 2024 8:18 PM
Dikemaskini: May 14, 2024 4:42 AM

Sebatang pokok yang tumbang di Jalan Pinang berhadapan Kuwait Bank di Kuala Lumpur hampir mengenai kenderaan yang membawa Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini.

Beliau yang menaiki kenderaan jenis Lexus 350 terselamat dalam kejadian itu, namun kereta peronda polis jenis Proton X70 yang mengiringinya mengalami kerosakan pada bahagian cermin belakang dan bonet dihempap pokok tersebut.

Setiausaha Akhbar Ketua Menteri Melaka Ezlyn Fardiha Zainal berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang semasa rombongan Ab Rauf sedang dalam perjalanan dari Melaka untuk menghadiri mesyuarat di ibu kota.

"Ketika melalui jalan berkenaan sebatang pokok telah tumbang betul-betul di hadapan kereta yang membawa beliau (Ab Rauf) dan menghempap bahagian belakang kereta peronda polis jenis Proton X70 yang mengiringinya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu tular video berdurasi 10 saat klip video paparan kejadian berkenaan di media sosial, yang menunjukkan sebuah kenderaan mewah jenis Vellfire berwarna merah rosak ditimpa pokok.

Difahamkan pihak berkuasa bertindak menutup jalan itu bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Dalam pada itu Ab Rauf dalam mesej suara menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita berkata ketika kejadian, kenderaan dinaikinya tidak bergerak berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Beliau berkata kenderaan polis yang mengiringinya pula baru melintasi kawasan kejadian namun malang menimpa apabila ia dihempap pokok tumbang.

"Alhamdulillah saya berada dalam keadaan yang selamat dan kita berharap agar pihak berkuasa dapat memantau pokok-pokok berada di sekitar bandar raya ini," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS