Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pantai Teluk Bahang diisytihar sarang penyu bertelur

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) hari ini mengisytiharkan Pantai Teluk Bahang dekat George Town, Pulau Pinang sebagai sarang penyu bertelur dan mewujudkan Pusat Konservasi Marin di Angsana Resort bagi memelihara, memulihara, mengurus serta konservasi spesies terancam.

Ia juga merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh Aquawalk Group Sdn Bhd dan Angsana Resort sementara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan bertindak sebagai penasihat teknikal bagi usaha pemeliharaan dan rehabilitasi spesies terancam seperti penyu.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Jabatan Perikanan Malaysia Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata dengan kerjasama pihak-pihak tersebut, pendaratan penyu berkemungkinan akan bertambah kerana berdasarkan rekod dari 2019 hingga 2023, Pulau Pinang mencatatkan data pendaratan ibu penyu sebanyak 292 kali dengan 27,701 biji telur berjaya diperolehi dan penetasan telur sebanyak 17,607.

"Hotel ini bekerjasama dengan DOF, kita akan lepas penyu di sini sahaja, tidak boleh lepas di tempat lain. Itu kebenaran jabatan, jadi sesiapa yang nampak telur penyu boleh kutip tetapi serahkan kepada pihak Angsana Resort dan akan dibayar RM2 bagi setiap biji.

"Dua spesies penyu yang dikenal pasti mendarat di sekitar pantai Pulau Pinang adalah penyu agar dan penyu lipas. Pendaratan reptilia ini tertumpu di Pantai Kerachut, Teluk Kampi dan Teluk Bahang," katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Aquawalk Group (Aquaria KLCC) dan prapelancaran Pusat Konservasi Marin di Angsana Resort, di sana hari ini.

MOU berkenaan adalah untuk kerjasama berkaitan pengurusan dan pemuliharaan spesies akuatik terancam seperti penyu, mamalia marin dan batu karang dalam aspek pendidikan sekali gus meningkatkan kesedaran awam dengan lebih giat serta melaksanakan pelbagai aktiviti secara bersama pada masa akan datang.

MOU itu ditandatangani Wan Muhammad Aznan dan Pengarah Urusan Aquaria KLCC Datuk Simon Foong dengan disaksikan Ahli Parlimen Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Sementara itu, Pengarah Urusan Aquawalk Group Datuk Simon Foong berkata MOU tersebut penting bagi menandakan kemampuan pihaknya dalam melakukan kerja-kerja pemuliharaan penyu di Teluk Bahang.

“Di Teluk Bahang, telah lama penyu tidak mendarat di pantai ini dan memandangkan kini mereka kembali mendarat, sangatlah penting untuk kita memastikan kebersihan pantai supaya haiwan ini terus kembali ke sini untuk bertelur.

“Spesies yang datang ke sini adalah dalam kategori terancam dan sangat sedikit, jadi dengan mendirikan pusat marin di sini, ia juga baik bagi orang ramai yang datang melawat kami di Pulau Pinang dan juga untuk masyarakat setempat.

“Kali terakhir penyu datang ke pantai ini adalah sekitar 10 hingga 20 tahun dahulu dan mula mendarat kembali mulai tahun lepas," katanya.

Sepanjang 2023, seramai 41,963 pelawat dari dalam dan luar negara direkodkan mengunjungi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, DOF.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS