Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ramasamy: Sokongan India kian merosot, kemenangan PH sia-sia
Diterbitkan:  May 12, 2024 4:01 PM
Dikemaskini: 8:01 AM

Di tengah kemenangan selesa Pang Sock Tao dalam PRK Kuala Kubu Bharu semalam, bekas pemimpin DAP P Ramasamy berpandangan PH makin kehilangan sokongan masyarakat India.

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, sementara pengundi Cina kekal bersama PH kerana kekurangan pilihan lain, pengundi India telah "bereksperimen" dengan pilihan lain.

"Peningkatan sokongan Melayu disebabkan oleh 'rasuah' yang ditawarkan kerajaan Madani, terutama pengumuman kenaikan gaji 13 peratus untuk penjawat awam. Ini memberi kesan kepada corak pengundian anggota beruniform - askar dan polis.

"Pengundi India tidak terkesan sangat dengan pengumuman projek perumahan RM75 juta untuk pekerja ladang di lima ladang di kawasan Bestari Jaya.

"Mereka juga tidak teruja dengan pengumuman projek pembangunan bernilai RM5.2 juta untuk kawasan Hulu Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramasamy digugurkan daripada mempertahankan kerusinya di Pulau Pinang pada PRU15. Dia kemudian keluar DAP pada Ogos tahun lalu dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) bersama sejumlah lagi bekas pemimpin dan ahli DAP.

Ramasamy dan Urimai giat berkempen agar pengundi di Kuala Kubu Bharu menolak PH.

Semalam, Pang Berjaya mengekalkan kerusi Kuala Kubu Bharu untuk DAP bagi penggal keempat selepas meraih 14,000 undi, menewaskan calon PN Khairul Azhari Saut (10,131 undi), Hafizah Zainudin (PRM) 152 undi dan Nyau Ke Xin (bebas) 188 undi.

Bagaimanapun, Ramasamy menyifatkan kemenangan PH itu sebagai "pyrrhic victory", iaitu kemenangan yang membawa kerugian dan bersamaan dengan kalah.

Dia berkata kurang 50 peratus pengundi India keluar mengundi semalam dan peratusan keluar mengundi juga rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Namun, peratusan rendah adalah trend lazim dalam banyak PRK sebelum ini dan majoriti yang diraih Pang, iaitu 3,869 undi, hanya rendah sedikit berbanding yang diraih mendiang Lee Kee Hiong tahun lalu, iaitu 4,113 undi.

"Rasa tidak puas hati masyarakat India terhadap PH yang bermula pada PRN 2023, berterusan dalam PRK Kuala Kubu Bharu.

"Di masa akan datang, orang India akan terus memboikot atau tidak mengundi calon PH.

"Pada takat tertentu, kempen Urimai agar pengundi menolak calon DAP/PH mencapai kejayaan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS