1MDB dan 10 pihak lagi memfailkan saman sivil berjumlah AS$346 juta terhadap Rosmah Mansor dan seorang lagi individu berkaitan dakwaan menerima barang kemas dan barangan mewah lain yang dibeli menggunakan wang yang diselewengkan daripada syarikat itu.
1MDB dan 10 pihak tersebut memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, dengan menamakan Rosmah sebagai defendan pertama dan Shabnam Naraindas Daswani sebagai defendan kedua.
Menurut Salinan writ saman itu, plaintif mendakwa Rosmah menerima ribuan barang kemas, jam dan beg tangan yang dibeli oleh Shabnam dengan menggunakan wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB dan plaintif yang lain.
Selain 1MDB, empat lagi plaintif adalah subsidiary syarikat itu, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited.
Plaintif yang lain adalah bekas subsidiari 1MDB, SRC International Sdn Bhd dan lima syarikat yang dalam proses pembubaran, iaitu Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Plaintif mendakwa premis tuntutan mereka adalah "tuntutan proprietari berekuiti dan/atau penerimaan harta amanah atau hasilnya yang dapat dikesan yang tidak berpatutan atau diketahui (“penerimaan yang diketahui”) dan/atau bantuan tidak jujur dalam pecah amanah atau pelanggaran kewajipan fidusiari (“bantuan tidak jujur”) dan/atau pengayaan tak patut".
Mereka mendakwa wang dipindahkan menggunakan pelbagai entiti luar pesisir, termasuk lima plaintif yang terlibat, sebelum diberikan kepada 48 vendor yang berpangkalan di tidak kurang daripada 14 bidang kuasa untuk pembelian barangan mewah.
"Sebanyak 320 bayaran sedemikian berjumlah AS$346,010,489 telah dibuat," dakwa mereka.
Selain menuntut arahan agar Rosmah membayar lebih AS$346 juta kepada mereka, plaintif turut memohon mahkamah antaranya agar mengarahkan defendan untuk membayar ganti rugi atau pampasan berekuiti yang ditetapkan mahkamah, ganti rugi keterlaluan dan/atau ganti rugi teladan serta relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Malaysiakini sedang menghubungi defendan dan peguam mereka untuk mendapatkan maklum balas berkenaan saman ini.