Polis tidak pernah menutup kes pembunuhan kanak-kanak autisme allahyarham Zayn Rayyan berusia enam tahun pada Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kes tersebut masih aktif dan pihaknya sentiasa mencari petunjuk baharu.
“Seperti yang selalu saya katakan, kita tak pernah tutup mana-mana kes, kes kini menantikan petunjuk baru, namun malang sekali, selepas ganjaran ditawarkan pun kami tidak menerima petunjuk baru.
“Saya faham masyarakat tak puas hati dengan perkembangan kes ini, tetapi macam saya sebut kita tak pernah lupa kes itu dan itu adalah hutang saya kepada masyarakat,” katanya pada sidang media khas Pengarah JSJ di Bukit Aman, di Kuala Lumpur, hari ini.
Shuhaily berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes Zayn Rayyan.
Sementara itu, Shuhaily berkata dia masih berharap ada sinar dalam kes pembunuhan adik Zayn Rayyan.
“Sekiranya saya pencen tanpa selesaikan kes itu, itu akan menjadi kegagalan saya. Kami telah mencuba yang terbaik dan mencuba semua jalan tetapi kami masih kekurangan (petunjuk).
“Kita harap kes ini masih ada sinar tentang ini dan kehadiran orang ramai ketika kejadian itu, berkemungkinan memusnahkan bukti-bukti yang ada. Berkemungkinan,” katanya.
Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Kuala Lumpur sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!