Restoran makanan segera tempatan, Darsa Fried Chicken di Rawang, memohon maaf berhubung komen di media sosial, yang menyebabkan netizen mendakwa pihak restoran itu cuba bermain isu perkauman.
Dalam satu kenyataan petang semalam, pihak restoran yang mendakwa "100 peratus milik bumiputera" itu menyifatkan ia sebagai "kesilapan yang tidak disengajakan".
"Mungkin terlalu banyak komen yang berunsur menjatuhkan sedikit sebanyak mengganggu fokus admin kami,” jelasnya.
Pihak restoran itu berkata mereka telah memutuskan untuk tidak menjawab sebarang isu selepas ini bagi mengelakkan kesilapan sama berulang
"Kami mengalu-alukan semua pelanggan kami di pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama.
"Semoga Malaysia yang kita kasihi ini aman dan damai. Pihak pengurusan DarSA Fried Chicken sedang memberi tumpuan sepenuhnya kepada operasi restoran pertama kami yang baru buka pada 29 April lalu.
Restoran itu, yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada KFC, mendapat kecaman ekoran respons yang diberikan kepada mereka yang menyatakan harganya mahal.
Ini selepas restoran ini mengingatkan seorang pelanggan agar tidak "ditipu oleh sentimen buruk yang dimainkan oleh 'type C", yang pengguna media sosial percaya merujuk kepada orang Cina di Malaysia.
Respons itu juga menyebabkan Adun Rawang Chua Wei Keat, yang bercadang untuk merasai ayam goreng di restoran itu tertanya-tanya.
Dalam catatan Facebooknya, ahli politik PKR itu berkata dia bercadang untuk mengunjungi restoran itu kerana ia terletak berhampiran Rawang dan bagi memberi sokongan kepada usahawan tempatan.
"Baru fikir nak cari masa untuk pergi cuba kedai ayam goreng lokal kerana lokasi berhampiran Rawang dan semangat nak support lokal. Tetapi.. sekarang muncul pula soal 'type C'. Apa maksud 'type C'," soalnya
Seorang pengguna Facebook menjawab apabila sesuatu perniagaan mengguna pakai sentimen perkauman, ia tidak akan bertahan lama bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia.
Tidak kurang juga di antara mereka mahu memboikot restoran berkenaan dan menyindir bahawa 'type C' yang dimaksudkan merujuk kepada kabel USB.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!