PRK KKB | Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) yang diketuai bekas pemimpin DAP, P Ramasamy meneruskan kempennya bagi menggesa pengundi Kuala Kubu Bharu agar tidak mengundi calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao.
Menurut Ramasamy, pesanannya kepada pengundi adalah jangan mempercayai Anwar, yang digelarnya sebagai "sesumpah".
"Keputusan PRK ini tidak akan menumbangkan kerajaan negeri dan persekutuan. Jadi, apa jua keputusan pada 11 Mei (hari mengundi), tidak akan jejaskan sesiapa.
"Tapi, saya minta pengundi di sini memberi isyarat kepada kerajaan hari ini bahawa rakyat tidak puas hati dengan mereka.
"Apakah isyarat kita boleh sampaikan kepada mereka? Sudah pasti dengan tidak mengundi calon PH," katanya kepada Malaysiakini di Kerling, Kuala Kubu Bharu hari ini.
Dia berkata kekalahan PH akan menjadi pengajaran kepada PH, DAP dan khususnya Anwar.
Ramasamy merupakan bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang dan pemimpin veteran DAP negeri itu. Dia keluar DAP pada Ogos tahun lalu.
Dia kemudian bersama beberapa lagi bekas ahli dan pemimpin DAP menubuhkan Urimai, yang kini masih menunggu keulusan daripada Jabatan Pertubuhan Pendaftaran (ROS).
Ditanya berkenaan sokongannya terhadap Anwar sebelum ini, Ramasamy membalas itu hanya ketika Anwar belum menjadi perdana menteri.
"Seperti semua, saya juga berharap Anwar akan menjadi perdana menteri kepada semua rakyat Malaysia.
"Tapi, seperti anda semua saya pun tertipu dengan janji-janjinya. Sebab itu saya kata jangan percaya 'sesumpah' Anwar ini," katanya.
Pang dicabar pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut yang mewakili PN, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!