Paling Popular
Terkini

PRK KKB | SA Vigneswaran berkata masyarakat India di Kuala Kubu Bharu boleh bertanya kepada MIC jika masalah yang dihadapi mereka masih berpanjangan selepas calon PH menang dalam pilihan raya kecil minggu depan.

Kata Presiden MIC itu, mereka boleh memberikan keyakinan kepada parti berkenaan dan sedia bertanggungjawab andainya isu yang dihadapi mereka tidak diselesaikan nanti.

"Saya sebagai Presiden MIC datang ke sini dan meminta mereka mengundi PH. Jika PH menang dan masalah-masalah di sini masih tak selesai, saya beritahu kamu, boleh tanya juga kami.

"Kami akan sampaikan masalah mereka kepada kerajaan," katanya di hadapan lebih 200 penduduk di majlis keagamaan Hindu di Kuil Rettai Muniswarar, Kerling, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri calon kerajaan perpaduan, Pang Sock Tao, yang berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat KKB, jika diberikan mandat pada 11 Mei ini.

Terdahulu, Vigneswaran berkata bahawa pengundi India perlu menyokong PH sebelum meminta kerajaan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekarang.

"Ini adalah satu peluang kepada kita bahawa dengan menyokong calon PH ia akan memberi kuasa yang lebih kepada wakil rakyat India (di Selangor). Dengan itu mereka boleh minta kerajaan menyelesaikan masalah yang dihadapi kaum India.

"Jangan menggunakan PRK ini untuk nak 'mengajar' kerajaan. Nanti yang rugi adalah kita sendiri," katanya.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Negara itu juga meminta pengundi di Kuala Kubu Bharu supaya tidak terikut-ikut dengan kempen dibawa pihak tertentu termasuk yang datang dari luar.

"Jangan dengar cakap pemimpin yang sebelum ini berada dalam DAP dan selepas tak dapat kerusi (menjadi calon), memberitahu bahawa parti itu tak betul dan sebagainya.

"Orang luar datang sini minta undi PN atau jangan undi PH, tapi apa yang mereka boleh buat jika PN menang? Mereka bukan kerajaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS