Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laluan Kg Pertak: Tiada permohonan baiki jalan dibuat , kata Jakoa
Diterbitkan:  May 3, 2024 9:48 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Tiada sebarang permohonan membaiki jalan dikemukakan oleh masyarakat Orang Asli di Kampung Pertak, Selangor kepada pihak yang berkenaan, kata Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Dalam kenyataan hari ini Jakoa berkata pada 9 Feb 2022 jabatan berkenaan mengadakan lawatan ke kawasan pertempatan terbabit dan telah mencadangkan agar jalan di situ dinaik taraf.

Bagaimanapun, kata Jakoa, cadangan berkenaan tidak dipersetujui oleh penduduk Kampung Pertak terutamanya pengusaha tapak perkhemahan dan pemilik kebun di kawasan berkenaan.

"Ini kerana mereka khuatir kawasan tersebut akan dimasuki oleh pihak luar menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang boleh menyebabkan kerosakan jalan," katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan berita kesukaran dialami penduduk kampung berkenaan kerana keadaan jalan yang tidak elok.

Menurut pemimpin penduduk di situ laluan rosak dari kawasan pertempatan ke tanah perkuburan menyebabkan mereka terpaksa mengusung mayat di jalan curam dan berbatu-bata sejauh 3km jika ada kematian.

Justeru mereka berharap masalah yang dihadapi itu akan diatasi sempena pilihan raya kecil di Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Penduduk terbabit juga mendakwa mereka sudah mengemukakan permohonan membaik pulih jalan tersebut kepada kerajaan dan Jakoa seawal 2017.

Kata Jakoa hari ini, laluan yang dimaksudkan mereka itu sering digunakan oleh orang awam yang membawa kenderaan pacuan empat roda (4x4).

Selain mengganggu kawasan dusun penduduk kampung, katanya, kedatangan kenderaan 4x4 itu juga mengakibatkan kerosakan pada jalan sedia ada.

Pada masa sama, kata Jakoa, tiadanya kesepakatan di antara pihak berkuasa dan masyarakat Orang Asli menyebabkan kerja-kerja mennaik taraf yang dicadangkan tidak dapat dilaksanakan.

Jakoa juga menafikan dakwaan penduduk yang menuduh agensi berkenaan memberi alasan tiada peruntukan untuk mengubah keadaan di kawasan petempatan berkenaan.

Malah, katanya, semakan rekod menunjukkan tiada sebarang permohonan menaik taraf dibuat sejak 2017.

"Tahun ini, kerajaan melalui Jakoa sekali lagi mengadakan sesi libat urus bersama penduduk Orang Asli Kampung Pertak bagi tujuan menaik taraf jalan tersebut.

"Setelah beberapa pertemuan bersama penduduk kampung, kata sepakat dicapai pada 9 Mac lalu agar jalan tersebut dibaik pulih dan dinaik taraf," kata Jakoa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS