Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim hari ini membidas Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir kerana berkata tidak ada perbincangan mengenai pembukaan program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks Universiti Teknologi Mara (UiTM) kepada pelajar bukan bumiputera.
Dalam catatan di X, Zaid mendakwa ketakutan untuk membuka UiTM kepada bukan bumiputera adalah kerana Umno, mengatakan bahawa parti itu harus melihat isu berkenaan secara berbeza.
“Institusi pendidikan kita perlu terbuka dan mengambil semua rakyat Malaysia yang berkelayakan.
“UiTM dimulakan untuk membantu bumiputera dan harus terus berbuat demikian.
"Tetapi hari ini, kita harus sedar bahawa membantu bukan Melayu masuk ke UiTM juga akan membantu bumiputera dengan menyelesaikan masalah negara," katanya.
Semalam, Zambry menafikan perbincangan mengenai perkara itu, berkata bahawa beberapa isu penting perlu diteliti sebelum idea sedemikian boleh dipertimbangkan.
Pada 25 April, Codeblue melaporkan Raja Amin Raja Mokhtar, yang berada dalam lembaga pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM-IJN, berkata bahawa universiti itu bersetuju untuk membuka peluang kepada pelatih dan graduan paralleh pathway bukan bumiputera.
Dia berkata keputusan itu dibuat selepas bercakap dengan naib canselor UiTM dan pengerusi lembaga UiTM, dan mereka bersetuju dengan idea itu untuk tempoh terhad.
Bagaimanapun, pada 30 April lalu, ahli Dewan Negara Dr RA Lingeshwaran membantah idea itu dan menegaskan bahawa universiti khusus bumiputera itu harus terus berkhidmat kepada pelajar bumiputera secara eksklusif, manakala pelajar bukan bumiputera atau bukan Melayu boleh mengikuti laluan paralleh pathway untuk latihan kepakaran perubatan. .
Sementara itu, Zaid menegaskan bahawa Malaysia menghadapi kekurangan pelbagai pakar perubatan dalam sektor penjagaan kesihatan awam.
"Ketakutan untuk mempunyai lebih ramai bukan Melayu sebagai doktor, jururawat atau pensyarah adalah trauma pada tahun 1970-an. Umno mesti menghilangkan ketakutan yang tidak rasional ini.
“Kita kini adalah sebuah negara dengan masalah yang lebih ketara tetapi mempunyai sumber yang mencukupi untuk berkhidmat kepada setiap kumpulan.
"Jangan terus mentadbir negara ini dengan ketakutan masa lalu," katanya.
Semalam, Pengerusi Urimai P Ramasamy mengkritik Lingeshwaran kerana menentang cadangan membuka program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks UiTM kepada bukan bumiputera.
“Walaupun belum ada perbincangan, jika UiTM sudah bersedia, apa salahnya memandangkan kekurangan pakar kardiotoraks di negara ini?
“Kenapa dia cuba mengekalkan hegemoni etnik di universiti awam? Malah, universiti lain juga harus terbuka,” katanya kepada Malaysiakini.
Lingeswaran berkata, tiada keperluan untuk membuka UiTM kepada bukan bumiputera apabila parallel pathway sudah wujud.
Senator DAP itu menegaskan keperluan untuk mengiktiraf program paralleh pathway anjuran Kementerian Kesihatan dengan kolej diraja luar negara, kerana bilangan doktor pakar yang dihasilkan oleh universiti tempatan jauh lebih kecil daripada yang dihasilkan oleh program itu.
Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!