Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Layan sama rata: K'jaan Kelantan terima kasih pada Anwar
Diterbitkan:  May 2, 2024 10:18 PM
Dikemaskini: 2:31 PM

Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi layanan sama rata kepada Kelantan seperti negeri-negeri lain.

Beliau berkata Perdana Menteri juga memberi maklum balas yang sangat baik kepada perbincangan berkaitan pembangunan Kelantan dalam pertemuan tertutup hari ini.

“Satu pertemuan dengan pimpinan kerajaan negeri dan pegawai kanan telah diadakan hari ini. Dalam taklimat itu saya telah menyebut beberapa perkara untuk kepentingan rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberikan maklum balas positif terhadap semua yang dibincangkan dan melayan Kelantan sepertimana negeri-negeri lain," katanya kepada pemberita ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan seperti yang telah dilakukan kepimpinan terdahulu.

“Sejak zaman Tok Guru Nik Abdul Aziz kita menjalinkan hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan dan hubungan ini akan diteruskan pada masa saya mentadbir negeri ini.

"Bagi saya berpolitik hanya pada musim pilihan raya. Selepas mandat diberikan kita mestilah memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat yang menjadi tanggungjawab bersama," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS