Paling Popular
Terkini

PRK KKB | Kempen boikot khususnya di kalangan pengundi India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Bharu (KKB) akan melemahkan lagi kedudukan masyarakat India dalam bidang politik negara.

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata pendirian sebegitu boleh membawa tanggapan bahawa kumpulan pengundi ini sebagai 'pihak yang tidak boleh dipercayai'.

"Sebagai pengundi, dia perlu pendirian sama ada sokong sini atau sana. Kalau nak boikot itu bukan perkara yang baik dan ia adalah satu pendirian yang salah.

"Kemudian, pengundi-pengundi ini tidak akan dipercayai oleh mana-mana parti politik.

"Bagi saya, dalam politik menjadi tidak komited kepada mana-mana adalah dosa. Kamu perlu ada di satu pihak sama ada sana atau sini.

"Jika, masih nak boikot, akhirnya masyarakat ini menjadi golongan diabaikan," katanya kepada pemberita di Antara Gapi, Hulu Selangor.

Terdahulu, bekas menteri sumber manusia itu diminta mengulas kempen 'boikot' PRK Kuala Kubu Bharu sebagai satu pengajaran kepada kerajaan hari ini ditadbir oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

https://www.malaysiakini.com/news/702861- BOIKOT

Pihak yang memulakan kempen itu berkata Anwar perlu 'ditikam' kerana tidak menunaikan janji-janji ditabur kepada masyarakat India.

Sementara itu, Saravanan berkata MIC menyasarkan lebih 3,000 pengundi India mengundi PH pada PRK ini.

"Ada laporan mengatakan bahawa pengundi India adalah penentu kemenangan di PRK ini. Rakyat memang mempunyai harapan tinggi dengan kerajaan hari ini dan ada segelintir tidak puas hati dengan kerajaan hari ini.

"Pemimpin yang turun kempen menghadapi isu menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan berhubung kerajaan. Namun, MIC kini sudah menggandakan lagi kempen.

"Sasaran MIC adalah sekurang-kurangnya membawa 3,000 pengundi daripada jumlah 7,500 pengundi India yang layak mengundi pada PRK," katanya.

DUN Kuala Kubu Bharu dikenali sebagai 'kerusi campuran' dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

Khairul Azhari Saut (PN), Pang Sock Tao (PH), Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas) masing-masing merebut kerusi DUN ini.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Mei dan 7 Mei untuk pengundian awal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS