Pakar politik Malaysia, Bridget Welsh mengecam kenyataan dibuat seorang profesor Amerika yang mengatakan Malaysia tidak selamat untuk dikunjungi.
"Amat tidak bersetuju dengan pandangan @BruceDGilley yang mencerminkan dan menggambarkan kurangnya pengetahuan yang meluas tentang Malaysia, dasar serta rakyatnya.
"Malaysia ialah negara yang selamat dan mesra. Kemarahan orang ramai itu wajar. Para ahli akademik sepatutnya mempromosikan pemahaman, tidak mendatangkan mudarat dan menyatakan perbezaan secara bertanggungjawab," kata analis politik itu di X.
Welsh, seorang penganalis politik, penyelidik, dan perunding dengan pengalaman lebih 35 tahun memfokuskan Asia Tenggara dan pakar dalam politik Malaysia, Singapura, Myanmar, serta Indonesia.
Dia mengulas kritikan profesor sains politik Bruce Gilley yang mengkritik Malaysia dan mencetuskan kemarahan berikutan kenyataannya yang menyokong Israel ketika bersyarah di Universiti Malaya.
Profesor itu mendakwa pemimpin politik Malaysia menganjurkan Holocaust kedua terhadap orang Yahudi.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan Tinggi membatalkan semua program dan aktiviti melibatkan Gilley, serta mengarahkan Universiti Malaya menyiasat insiden itu.
Profesor itu yang kemudian meninggalkan Malaysia meluahkan kemarahannya di laman X.
"Saya telah selamat berlepas dari Malaysia, satu langkah di hadapan kumpulan Islamofasis yang dimainkan oleh kerajaan di sana.
“Ini bukan negara yang selamat untuk dilawati sekarang. Perkembangan terkini akan menyusul," katanya.