Paling Popular
Terkini
story images
story images

PRK KKB | Calon DAP bagi kerusi Kuala Kubu Bharu Pang Sock Tao mendapat layanan mesra penduduk setempat pada hari pertama bertemu pengundi pagi tadi.

Malah, Pang yang berusia 31 tahun sempat disapa penduduk pujian 'perempuan cantik'.

"Perempuan cantik, awak sudah kahwinkah?" usik seorang wanita dalam dialek Hakka.

Pang memulakan lawatannya bersama kira-kira 20 penyokong Pakatan Harapan (PH) dengan bersarapan bersama penduduk di Keng Lim Kopitiam di Kampung Chuang Rasa.

Dia memperkenalkan diri dan mengambil gambar bersama penduduk yang kebanyakannya adalah etnik Cina berketurunan Hakka.

Ketika bersarapan, mereka dengan begitu bersemangat menyapa Pang, namun dia hanya tersenyum ringkas sambil menjawab;

"Saya juga berketurunan Hakka, tapi dialek Hakka saya tidak berapa bagus," kata Pang.

Pang memulakan kempen dengan melawat dua buah kampung dengan majoriti penduduk Cina di Kuala Kubu Bharu, iaitu Kampung Chuang Rasa dan Kampung Air Panas.

Pada pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, penyandang kerusi berkenaan, Lee Kee Hiong mendapat sokongan luar biasa di dua kawasan ini.

Sementara itu, seorang pengundi bertanya apakah Pang pembantu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming - yang disifatkan'tidak kurang hebat'.

Seorang pengundi lain pula berkata, "Keluarga saya ada lapan undi... (Kami) pasti akan sokong anda.

Bagaimanapun, seorang penduduk Kampung Chuang Rasa yang mendakwa penyokong tegar Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Phang.

Lelaki yang dikenali dengan nama keluarga Lim itu turut merampas mikrofon kru kamera 8TV untuk bercakap.

"Sekarang, makanan mi wantan macam ini pun sudah RM8.50, kopi ini RM2.50, satu hari untung RM30 boleh makan? (Bagaimana) boleh hidup?" Kata lelaki itu.

Dia turut mencadangkan agar DAP membiarkan Umno bertanding di Kuala Kubu Bharu bagi mencabar PN.

Dia menambah selepas kemenangan Lee tahun lalu, Adun tersebut tidak pernah kelihatan di situ.

Bercakap kepada media selepas itu, Pang mengakui impak kenaikan kos sara hidup tetapi menegaskan fokus sebenar adalah memilih wakil rakyat yang mampu membawa pembangunan di Kuala Kubu Bharu pada PRK kali ini.

Pang turut mempertahankan sumbangan mendiang Lee dengan mengatakan prestasi Adun selama tiga penggal itu adalah bukti kerja kerasnya.

Ia termasuklah kumpulan di belakang tabir yang banyak menyokongnya selama berkhidmat kepada masyarakat di situ.

"Perbezaan pendapat pasti ada tapi apa pun kita memerlukan pasukan yang boleh melakukan dengan lebih baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS