Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya dah beri pendidikan, hukumlah anak saya jika dia salah'
Diterbitkan:  Apr 25, 2024 5:51 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata dia terbuka dengan siasatan terhadap anaknya yang didakwa terbabit dalam kes tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Mohd Shukri berkata, sekiranya hasil siasatan mendapati anaknya bersalah, pihak berkuasa berhak menjatuhkan hukum kerana tiada siapa yang kebal daripada undang-undang.

"Ini adalah ujian yang sedang saya hadapi dan jika anak saya (terbukti) bersalah, maka hukumlah dia kerana saya sudah beri pendidikan dan ilmu.

"Ia termasuk juga pegawai saya di mana saya selalu berpesan mengenai perkara ini dan jika terbabit juga, saya sudah habis ikhtiar," katanya seperti dilapor media dalam ucapan penggulungan di Mesyuarat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke 15, hari ini.

Dalam pada itu, Adun Sanglang itu juga bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan yang dijalankan.

Awal hari ini, SPRM melanjutkan tahanan reman terhadap anak lelakinya sehingga esok bersama empat lagi individu yang terbabit dalam kes sama.

Manakala seorang penjawat awam di Pejabat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri berusia 20-an yang direman sebelum ini, dibebaskan setelah siasatan terhadapnya selesai.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor membenarkan lanjutan reman itu selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan oleh SPRM antara pukul 7 dan 8 pagi Selasa lepas di sekitar Perlis.

Menurut sumber, siasatan dilakukan berhubung kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu, sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Katanya keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.

Tiada siapa yang kebal undang-undang

Mohd Shukri turut mengakui wujud kelemahan dalam pentadbiran negeri dengan mengatakan dirinya mudah mempercayai semua orang namun mengingatkan bahawa tiada orang yang kebal terhadap undang-undang termasuk dirinya.

"Memang, kelemahan saya dalam pentadbiran terlalu baik dan percaya semua orang saya beri kebebasan tetapi harus diingat tidak siapa kebal undang-undang termasuklah saya.

"Malah salah seorang yang disiasat itu adalah anak saya dan pada pagi (SPRM) datang, mereka geledah rumah saya (di Sungai Padang) kemudian Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) tempat saya asuh anak-anak dan kemudian bawa anak saya pergi untuk direman.

"Sekali lagi saya tegaskan bahawa pejabat saya buka 25 jam (setiap masa) sehari untuk pemeriksaan SPRM kerana saya tidak mahu berlaku sebarang penyelewengan dan biarlah ia dalam keadaan bersih dari unsur tidak baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS