Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Kamil Abdul Munim tampil menempelak Muhyiddin Yassin yang didakwanya sebagai 'biul' dan tidak faham tentang fungsi Lembaga Pengampunan susulan kritikan bekas perdana menteri itu terhadap Anwar Ibrahim.
Dia juga mendakwa bahawa kerajaan Madani hari ini bukan seperti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gemar mengundang dukacita Istana.
"Sebagai mantan perdana menteri, agak biul dan memalukan jika Muhyiddin tak faham peranan dan fungsi Lembaga Pengampunan dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
"Hadam perlembagaan sendiri dan kurangkan bergantung pada teks yang disediakan," katanya kepada Malaysiakini.
Muhammad Kamil mengulas kenyataan Muhyiddin yang melabel Anwar sebagai perdana menteri yang "bodoh" jika dia tidak tahu berkenaan dakwaan kewujudan "titah adendum" agar Najib Razak menghabiskan hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Sebelum ini, Anwar berkata bahawa afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi untuk menyokong usaha bekas perdana menteri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah dibuat atas kapasitinya sebagai presiden Umno.
Ketika berkata demikian, Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam keputusan Lembaga Pengampunan dan menegaskan bahawa titah Yang di-Pertuan Agong semasa mesyuarat lembaga adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.
Muhyiddin sebaliknya membidas Anwar dan melabelnya sebagai perdana menteri yang "bodoh".
Mengulas lanjut, Muhammad Kamil, bagaimanapun, mempertahankan pendirian bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dalam urusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja.
"Ini beza kerajaan Muhyiddin dan kerajaan hari ini yang menjunjung dan hormat kepada Institusi Diraja.
"Segala keputusan dibuat melalui tatacara dan penuh adab menurut perlembagaan.
"Tidak seperti tindakan kerajaan Muhyiddin yang menarik semula Ordinan Darurat yang mengundang rasa dukacita Seri Paduka," katanya.
Ketika pentadbiran Muhyiddin, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melahirkan rasa dukacita baginda dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di parlimen.
Ramai pihak sebelum ini berpendapat pembatalan tersebut dibuat secara tidak berperlembagaan.
Dalam afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April, Zahid, yang juga timbalan perdana menteri menyokong dakwaan Najib mengenai titah tambahan diraja supaya baki hukuman penjaranya digantikan dengan tahanan rumah.
Zahid mendakwa pada 30 Jan semasa mesyuarat di rumahnya di Country Heights, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz memaklumkan kepadanya mengenai titah tambahan bertarikh 29 Jan.
Zafrul kemudiannya berkata terdapat kesilapan fakta dalam afidavit Zahid dan dia akan mendapatkan nasihat undang-undang dan menulis kepada Mahkamah Tinggi untuk membetulkan kesilapan itu.
Ditanya mengenai titah tambahan itu, Anwar enggan mengulas, dan sebaliknya berkata ia adalah bidang kuasa Lembaga Pengampunan.