Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata dia akan berusaha untuk meyakinkan MCA agar membantu kempen calon PH dalam PRK Kuala Kubu Bharu yang akan diadakan.
Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata dia telah berjumpa dengan Presiden MCA Wee Ka Siong yang sebelum ini berkata partinya tidak akan menyertai kempen tersebut.
"Saya sudah jumpa Wee Ka Siong dan saya memahami situasi yang dia hadapi ketika kenyataan itu dikeluarkan.
"Saya akan ikhtiarkan cari jalan terbaik (untuk menyelesaikannya)," kkatanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka Hari Raya Umno Selangor di Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Dia juga mengulangi pendirian Umno untuk menghormati kerusi yang dimenangi parti-parti dalam kerajaan.
"Maka keputusan kita adalah mendukung mana-mana calon atas nama kerajaan perpaduan yang akan diumumkan pengerusi," katanya, merujuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.
"Jika ada permasalahan dan kenyataan dikeluarkan, saya berpendapat ia adalah pendirian parti masing-masing dan saya harap ia sementara sahaja.
"Jika kenyataan itu dibuat kerana kecil hati dengan kenyataan yang dikeluarkan parti komponen lain, saya harap perkara itu dapat diselesaikan.
Sementara itu, Utusan Malaysia memetik Timbalan Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail yang menggesa MCA dan MIC menimbang semula keputusan yang telah dibuat dan memastikan kemenangan pihak kerajaan dalam PRK tersebut.
Wan Rosdy berkata dia menghormati keputusan MCA dan MIC untuk memboikot PRK Kuala Kubu Bharu namun kedua-dua parti itu mesti menerima sebarang keputusan berhubung calon yang akan diletakkan.
“Dalam meraikan politik baru yang lebih matang terutama selepas PRU15, parti komponen BN termasuk Umno sekalipun harus menerima perubahan ini kerana kita telah bersetuju bersama dalam pembentukan kerajaan Perpaduan.
“Saya juga melihat keengganan MCA dan MIC untuk memberi kerjasama tidak mendatangkan kebaikan kepada parti tersebut, sebaliknya tindakan itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat yang diwakili,” katanya lagi seperti dipetik.