Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buru suspek kelapan kes samun warga asing
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 6:54 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Polis sedang memburu seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes samun di Kuala Lumpur awal bulan ini, yang sebelum ini menyaksikan lima anggota polis telah direman.

Menurut Sinar Harian, Ketua Polis KL Rusdi Mohd Isa berkata individu ini merupakan suspek kelapan dalam kejadian samun itu.

Jelasnya, suspek merupakan orang awam yang dipercayai boleh membantu siasatan.

“Pihak polis sedang mengesan dan memburu individu ini yang dipercayai orang awam.

"Kita akan mengedarkan gambar suspek kepada umum, setelah usaha mengesannya di alamat lama tidak membuahkan hasil," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras.

Setakat ini, tujuh individu direman, termasuk lima anggota polis yang direman untuk tempoh maksimum dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Siasatan telah menemui wang tunai berjumlah RM142,000 dan 27,000 baht (RM3,500), dipercayai dicuri daripada mangsa.

Tambahnya, siasatan kini dalam peringkat membuat keputusan sama ada mahu menuduh suspek atau tidak.

Kejadian samun itu berlaku pada 7 April lalu di kediaman seorang lelaki warga asing di Jalan Tun Razak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS