Pengumuman peruntukan RM5.21 juta untuk pembangunan di Hulu Selangor oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming merupakan amalan biasa pentadbiran dan tidak mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.
Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han mempertahankan pengumuman yang dibuat menteri DAP itu kerana ia dibuat bukan dalam tempoh kempen.
Katanya, menteri KPKT juga telah memberi penjelasan mengenai perkara itu semalam dan tidak sepatutnya menjadi isu.
“Menteri KPKT sudah buat penjelasan bahawa peruntukan itu satu amalan biasa dan lagi pun penamaan calon belum diadakan lagi.
“Menteri KPKT juga turun ke Terengganu dan Kelantan hari ini beri peruntukan yang sama.
"Sana tiada PRK tapi kerja-kerja untuk beri peruntukan kepada PBT tetap dijalankan untuk menambahbaik kemudahan-kemudahan di kawasan PBT,” katanya.
Sze Han berkata demikian media selepas majlis pelancaran tapak projek pembinaan Multi-Code Electronics Industries (M) Berhad di UMW Serendah yang dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini berkata peruntukan sebanyak RM5.21 juta oleh KPKT di Kuala Kubu Bharu semalam melanggar etika pilihan raya.
Tempat bertuah
Jawatankuasa pemandu Bersih berkata pihaknya mengambil serius pengumuman menteri KPKT itu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN berkenaan.
"Bersih melihat pengumuman ini telah melanggar garis panduan Larangan 3C: No Conditions (tidak bersyarat), No Campaign (tidak berkempen) dan No Candidates (tidak bawa calon) yang telah digariskan Bersih sejak Pilihan Raya Negeri 2023.
"Seperti dilaporkan media, Nga turut menyeru penduduk balik kampung dan meminta mengundi parti yang 'baik, prihatin, progresif' walaupun tidak menyebut mana-mana parti politik dalam kerajaan," katanya.
Semalam Nga menafikan peruntukan RM5.21 juta untuk pembangunan daerah ini melalui program Sentuhan Kasih mempunyai kaitan dengan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.
“Bukan kerana semata-mata PRK Kuala Kubu Bharu, kita pilih kawasan ini kerana tempat bertuah.
"Feng Shui ‘Ong’, ini tempat baik. Lawatan pertama kena tempat bertuah,”kata Nga.
Sementara itu, Sze Han yang juga pengarah pilihan raya PH Selangor bagi PRK Kuala Kubu Bharu berkata calon DAP masih belum dimuktamadkan lagi.
Katanya, parti itu akan mengumuman calon yang akan mewakili kerajaan perpaduan Rabu depan.
“Kami sudah ada beberapa calon yang layak dan DAP Selangor sudah adakan satu perbincangan dan akan dikemukakan kepada DAP pusat untuk kemukakan satu keputusan sebelum kita bawa ke peringkat PH untuk perbincangan.
“Pengumuman calon akan dibuat pada Rabu depan," katanya lagi.