Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Google pecat 28 pekerja protes projek bekal khidmat untuk Israel
Diterbitkan:  Apr 19, 2024 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Google, syarikat Amerika Syarikat (AS) telah memecat 28 pekerja yang mengambil bahagian dalam bantahan terhadap projek gergasi teknologi bernilai US$1.2 bilion untuk membekalkan perkhidmatan pengkomputeran awan kepada kerajaan Israel, Sputnik memetik laporan media AS pada Khamis, memetik jurucakap dan pekerja Google.

Pada Selasa, sembilan pekerja Google ditahan atas tuduhan menceroboh selepas mengadakan mogok duduk terhadap Projek Nimbus di pejabat syarikat itu di New York dan Sunnyvale, California, lapor The New York Times.

"Menghalang tugas pekerja lain secara fizikal dan menghalang mereka daripada mengakses kemudahan kami adalah pelanggaran yang jelas terhadap dasar kami dan tingkah laku yang tidak boleh diterima sama sekali," seorang jurucakap Google dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu.

Kakitangan Google yang bergabung dengan kumpulan No Tech For Apartheid yang mengetuai mogok itu mengkritik pemecatan itu sebagai "tindakan balas dendam yang terang-terangan".

"Pekerja Google mempunyai hak untuk membantah secara aman mengenai terma dan syarat pekerjaan kami," kata pekerja itu yang dipetik oleh akhbar itu sebagai berkata dalam satu kenyataan.

Sebahagian daripada pekerja yang dipecat oleh Google didakwa tidak mengambil bahagian dalam mogok itu.

Projek Nimbus diumumkan pada 2021 dan bertujuan untuk menyediakan kementerian Israel dengan perisian awan. 

Beberapa pekerja Google dilaporkan menyatakan kebimbangan bahawa syarikat itu membantu tentera Israel. 

Jurucakap Google dipetik sebagai berkata bahawa Nimbus "tidak ditujukan kepada beban kerja yang sangat sensitif, dikelaskan atau ketenteraan yang berkaitan dengan senjata atau perkhidmatan perisikan".

- Bernama-Sputnik

Lihat Komen
ADS