Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
AS guna kuasa veto halang usul iktiraf keahlian Palestin dalam PBB

Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto bagi menolak usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf negara Palestin, lapor Agensi Anadolu (AA).

Lima belas ahli majlis berkumpul di New York bagi mengundi draf resolusi yang dikemukakan oleh Algeria yang mengesyorkan kemasukan Negara Palestin untuk menjadi ahli PBB.

Keahlian itu disekat selepas 12 menyokong manakala dua berkecuali, termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.

Sebelum pengundian itu, perwakilan Algeria ke PBB Amar Bendjama berkata sudah tiba masanya Palestin mendapat tempat yang sepatutnya dalam kalangan masyarakat negara dan mencari keahlian PBB adalah ekspresi asas bagi penentuan nasib Palestin.

"Hari ini, panggilan sejarah bergema sekali lagi. Dan adalah penghormatan bagi saya untuk mengemukakan kepada majlis cadangan untuk mengakui Negara Palestin sebagai anggota penuh PBB.

"Ia adalah langkah kritikal ke arah membetulkan ketidakadilan yang sudah lama wujud," kata Bendjama, menggesa setiap ahli untuk menyokong resolusi itu.

Palestin telah diterima sebagai negara pemerhati Perhimpunan Agung PBB pada 2012, yang membolehkan utusannya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan dan organisasi PBB tetapi tanpa undian.

Negara-negara diterima ke dalam keanggotaan PBB melalui keputusan Perhimpunan Agung atas cadangan Majlis Keselamatan, menurut Piagam PBB.

Resolusi majlis memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi memihak dan tiada kuasa veto oleh anggota tetap - AS, Britain, Perancis, Rusia atau China - untuk diluluskan.

Permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB dibuat susulan serangan maut Israel di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan 7 Okt lepas, yang telah membunuh hampir 34,000 rakyat Palestin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS