Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pengawal keselamatan didakwa bunuh bayi sendiri

Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di Bangi hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya yang berusia enam bulan di sebuah pangsapuri di Beranang, Selangor.

Mohamad Aizat Samin, 25, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bapa dua anak itu didakwa membunuh anak lelakinya Muhammad Aysar Wildan di sebuah pangsapuri di Beranang pada 14 April lepas antara pukul 8 malam dan 7.40 pagi esoknya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh sebutan untuk mengetahui laporan kimia, forensik, bedah siasat serta toksikologi.

Tertuduh diwakili peguam Arif Azmi.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan kes bagi mengetahui perkembangan laporan itu.

Pada prosiding itu, isteri tertuduh dilihat menangis di galeri awam.

Rabu lepas Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohamad Nasir Drahman berkata lelaki itu membuat laporan polis pada pukul 8.52 pagi memaklumkan bayi itu tidak sedarkan diri di pangsapuri berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan bayi itu, namun hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian kepala yang bukan disebabkan oleh kemalangan,” katanya dan menambah lelaki itu didapati positif dadah jenis syabu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS