Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jalan raya sekitar Meru, Klang masih sesak teruk susulan banjir awal pagi semalam.

Hampir 48 jam berlalu masih terdapat beberapa kawasan di situ masih ditenggelami seperti di Persiaran Hamzah Alang, pekan Meru, Jalan Salleh dan Jalan Perindustrian Meru-Kapar.

Seorang pegawai keselamatan Syed Mohd Hidzir meluahkan kekecewaannya apabila terkandas untuk ke pejabat akibat trafik begitu perlahan.

“Penduduk masih boleh keluar ke tempat kerja tetapi jalan begitu sesak terutama pada waktu pagi. Saya sendiri tersekat hampir dua jam untuk ke tempat kerja.

“Semalam saya keluar rumah jam tujuh pagi tetapi saya sampai ke Klang kira-kira jam 9.30 pagi.

“Begitu juga hari ini trafik masih sama walaupun setengah kawasan airnya telah surut tetapi keadaan jalan masih sesak.

“Walaupun terdapat sukarelawan yang menjaga lalu lintas tetapi jalan masih sesak kerana lorong kanan sahaja yang boleh dilalui,” katanya.

Seorang pembantu tukang masak, Suziani Shaari, 40, turut berkongsi kisahnya terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas akibat banjir.

Katanya banyak rumah dinaiki air memaksa penduduk meninggalkan kenderaan mereka di atas jalan raya yang tidak dinaiki air.

"Itu merupakan salah satu punca trafik di jalan ini bergerak perlahan," katanya.

Menurut Suziani jika pada hari biasa dia keluar rumahnya di Meru pada jam 8 pagi untuk ke Setia Alam dia boleh sampai mengikut waktu kerja yang sebenar.

"Sekarang jam 9.30 pagi pun saya masih ada di atas jalan walapun jarak cuma kira-kira 5km saja," katanya.

Dia juga berpendapat banjir itu berpunca daripada lambakan sampah yang menyumbat laluan air di tepi jalan dan berharap pihak yang berkenaan turun padang mencari punca dan menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Pekerja syarikat penghantaran yang hanya mahu dikenali sebagai Nurul Asyikin berkata perjalanan biasa dari rumah ke tempat kerjanya selama 20 minit kini menjadi hampir satu setengah jam.

“Cuma trafik hari ini tidak seteruk kelmarin kerana ada kawasan sudah surut dan banyak kenderaan mula berani untuk melalui kawasan tersebut.

"Nasib baik juga hujan tidak berpanjangan maka air boleh surut.

"Tapi saya masih pelik kenapa di kawasan Meru, walaupun hujannya sekejap tetapi banyak kawasan dinaiki air.

“Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu fikirkan inisiatif lain seperti menambah pam air atau memperbesarkan parit bagi mengelakkan banjir berlaku setiap tahun,” katanya.

Kakitangan kerajaan negeri, Mohd Zam Zam, 57, berkata paras air naik begitu cepat pada awal pagi selepas hujan lebat berterusan agak lama.

Selain terpaksa keluar dari rumah lebih awal, dia juga berdepan dengan masalah banyak laluan yang ditutup kerana dinaiki air.

Justeru dia berharap pihak yang berkenaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) dapat menambah baik sistem perparitan di kawasan rendah.

"Penduduk juga perlu cakna tentang tanggungjawab menjaga kebersihan di kawasan sekeliling," katanya.

Sementara itu JPS Selangor mengambil perhatian isu yang berlaku di situ.

Pengarahnya Nasser Salim adalah antara orang yang memantau secara dekat keadaan semasa bersama jurutera daerah bagi memastikan keadaan terkawal.

Lihat Komen
ADS