Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunuh anak tiri: Boy Tiger terlepas hukuman mati

Seorang bekas kontraktor terlepas daripada hukuman mati apabila Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menggantikan hukuman itu dengan penjara 35 tahun atas kesalahan membunuh anak tiri lelakinya yang berusia tiga tahun, hampir enam tahun lepas.

Khairul Izani Khairuddin, 36, yang dikenali dengan nama julukan “Boy Tiger” turut dikenakan 12 sebatan rotan, serta diperintah menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 12 Nov 2018.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Vazeer Alam Mydin Meera (kini hakim Mahkamah Persekutan), Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azmi Ariffin menolak rayuan Khairul Izani untuk mengetepikan sabitan ke atas kesalahan membunuh Muhammad Qairil Aqmal Abdul Hakim.

Bagaimanapun panel berkenaan membenarkan rayuan Khairul Izani untuk mengetepikan hukuman mati dan digantikkan dengan hukuman penjara.

Pada 26 Ogos 2022 Mahkamah Tinggi Klang mendapati Khairul Izani bersalah membunuh kanak-kanak terbabit di sebuah rumah di Taman Bukit Indah, Ampang, Selangor kira-kira jam 11 pagi pada 8 Nov 2018.

Hakim kemudian menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Khairul Izani.

Ahmad Zaidi ketika menyampaikan keputusan berkata Khairul Izani gagal menunjukkan bahawa hakim mahkamah tinggi sebelum ini terkhilaf dalam dapatannya untuk menolak pembelaan bahawa tertuduh mengalami masalah tidak waras mental.

Sebaliknya kata Ahmad Zaidi terdapat keterangan yang membuktikan Khairul Izani waras semasa kejadian, dengan isteri tertuduh memberi keterangan bahawa dia berhenti membelasah mangsa apabila mendapati kepala kanak-kanak berkenaan berdarah sebelum segera membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

Kata hakim terbabit, kelakukan Khairul Izani yang berbohong kepada doktor dengan mengatakan bahawa kanak-kanak itu cedera akibat terjatuh di bilik air menunjukkan dia cuba menyembunyi perbuatannya dan tindak tanduk sedemikian adalah konsisten dengan kelakuan seorang yang waras.

“Kami mendapati hakim bicara tidak boleh dikatakan terkhilaf dalam dapatan beliau bahawa tindakan tertuduh dalam membelasah kanak-kanak itu berlaku kerana sifat panas barannya, dan bukan kerana dia dalam keadaan tidak waras mental,” katanya.

Hakim itu berkata berdasarkan fakta kes, isteri Khairul Izani melihat tertuduh membelasah kanak-kanak terbabit dengan bertubi-tubi, memijak tubuhnya serta mencekik leher dan menghentak kepalanya ke dinding sehingga berdarah.

Ahmad Zaidi berkata isteri Khairul Izani tidak berjaya menghalangnya kerana ketika itu dia sarat mengandung, tambahan pula Khairul Izani adalah seorang yang panas baran.

Khairul Izani diwakili peguam Arik Zakri Abdul Kadir, manakala pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya Ng Siew Wee.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS